Fasa kedua projek KVDT akan dikaji semula - Anthony Loke
Astro Awani
Jun 11, 2018 21:11 MYT
Jun 11, 2018 21:11 MYT
Fasa kedua Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dikaji semula, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata kerajaan mengambil keputusan itu berikutan kos penambahbaikan projek KVDT ini yang tinggi, sekitar RM5.9 bilion, selain pelaksanaannya juga mengambil masa yang lama iaitu tujuh tahun.
"Kosnya terlalu tinggi, memang kerajaan baharu tidak setuju dengan kos tersebut. Kita akan bawa balik ke kabinet untuk dikaji semula dan projek itu dianggarkan mengambil masa tujuh tahun.
"Ini sesuatu yang Kementerian Pengangkutan tidak akan bersetuju. Kita tidak boleh ambil masa tujuh tahun dan pengguna komuter terpaksa menghadapi kelewatan ini sekiranya projek ini dimulakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri taklimat oleh pengurusan KTMB, di sini, hari ini.
Katanya, kos keseluruhan fasa kedua projek melibatkan jarak 110 kilometer dari Kuala Lumpur ke Klang, Salak Selatan ke Seremban dan Simpang Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Klang, menelan belanja kira-kira RM53 juta untuk setiap kilometer.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mengkaji semula projek dari segi kaedah mengurangkan kos dan tempoh pelaksanaan.
Sementara itu, Loke berkata, fasa pertama projek KVDT yang dijadualkan siap pada Ogos tahun depan kini berdepan kelewatan dua bulan berbanding tarikh sepatutnya.
Fasa pertama projek itu meliputi kerja membaik pulih landasan dengan jarak kira-kira 40km dari Rawang ke Salak Selatan dan Sentul ke Simpang Batu dengan kos keseluruhan RM1.4 bilion.
Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf landasan berkembar itu menyebabkan tren komuter lewat tiba apabila satu landasan perlu ditutup dan tiada landasan berkembar di sepanjang laluan berkenaan.
"Ini menyebabkan perkhidmatan tren terjejas.
"Sebelum ini semasa waktu puncak setiap tren komuter datang dalam kekerapan 15 minit dan bukan waktu puncak ialah 30 minit.
"Tetapi projek naik taraf ini menyebabkan jadual ditukar. Sekarang ini waktu puncak 30 minit dan bukan waktu puncak 60 minit untuk setiap tren.
"Setakat ini kita cuba perbetulkan keadaan, cuba mempercepatkan, tetapi oleh kerana landasan ditutup, kita terpaksa hadapi kelewatan," jelasnya.
Bersempena Ramadan, Loke turut mengedar 1,000 pek bubur lambuk kepada penumpang kereta api di stesen Sentral Kuala Lumpur dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim Pusat Jagaan Suci Rohani serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri.
#Anthony Loke Siew Fook
#Klang
#komuter
#KTMB
#Kuala Lumpur
#KVDT
#Malaysia
#Salak Selatan
#Seremban