Fasa kedua PKP: Buang pekerja bukan alternatif usahawan IKS selamatkan perniagaan
Najmi Syahiran Mamat
April 2, 2020 06:50 MYT
April 2, 2020 06:50 MYT
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk fasa kedua bermula 1 April, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) antara yang amat terkesan.
Selain keuntungan yang berkurangan ekoran tiada pelanggan, kos pembayaran gaji kepada pekerja antara cabaran utama pengusaha dalam memastikan perniagaan mereka tidak ‘gulung tikar’.
Bagi usahawan yang juga pemilik Nazmiera Warong Cafe, Aira Amieyra Azhar, membuang pekerja atau menamatkan perkhidmatan bukan jalan pilihan yang ada.
Sebaliknya, beliau memastikan bahawa setiap pekerja diberi peluang untuk bekerja mengikut waktu giliran tertentu.
“Kalau buang pekerja itu tidaklah, tetapi apa yang saya buat untuk kekalkan perkhidmatan mereka adalah dengan membuat penjadualan semula waktu bekerja.
“Walaupun situasi sekarang menyebabkan pelanggan tidak dapat makan di premis, namun tenaga kerja masih diperlukan.
"Kemudian, sekarang waktu operasi premis juga terhad, jadi itu antara cabaran yang perlu kami hadapi,” katanya ketika ditemu bual melalui Skype dalam Buletin AWANI.
Jelasnya, usahawan perlu menjadi kreatif ketika berdepan situasi getir negara ketika ini dan dalam masa sama menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang sukar dijangka.
Diminta mengulas mengenai pelan kontingensi dalam mengharungi situasi ini, Aira berpendapat sebagai usahawan, tabung kecemasan amat penting untuk dirancang bagi mengatasi perkara luar jangka.
“Bagi saya, sebelum memulakan perniagaan lagi, kita perlu merancang untuk mewujudkan tabung kecemasan.
"Contohnya, saya akan ambil tempoh dalam empat bulan dan tetapkan peratusan dari keuntungan untuk dijadikan sebagai wang kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata insentif seperti Program Subsidi Upah berjumlah RM 600 yang diberikan kerajaan menerusi Pelan Tindakan Ekonomi baru-baru ini sedikit sebanyak membantu pengusaha untuk membayar gaji pekerja.
“Selain meringankan beban para pekerja, insentif ini juga membantu saya sebagai majikan terutamanya untuk membayar gaji pekerja dan sekali gus dapat mengelakkan kami dari membuat keputusan seperti menamatkan perkhidmatan mereka dengan perusahaan,” katanya.
#Aira Amieyra Azhar
#COVID19
#IKS
#impak ekonomi
#Industri Kecil Sederhana
#Nazmiera Warong Cafe
#perintah kawalan pergerakan
#usahawan