Fasa ke-2 transformasi FELDA pacu lebih banyak pembangunan

Bernama
April 21, 2013 21:54 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahad merasmikan sebuah kompleks bernilai RM22 juta di sini yang dirancang bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi peneroka FELDA dan penduduk sekitar.
Perdana Menteri berkata Kompleks Industri dan Rekreasi FELDA merupakan projek di bawah fasa kedua transformasi FELDA bagi tempoh 50 tahun akan datang mulai tahun 2006.
"Dalam perjalanan 50 tahun akan datang, bermula 2006, kita dapat saksi satu demi satu apa yang kita paparkan (janji) dapat kita terjemahkan di setiap tanah rancangan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kompleks itu di Chini 3.
Najib berkata menerusi fasa kedua itu juga, FELDA yang sebelum ini berperanan sebagai pemaju tanah di bawah fasa pertama, kini fokus kepada sebuah organisasi bersifat komersil dan tersohor di persada antarabangsa.
Perdana Menteri berkata para peneroka perlu sedar bahawa tidak semua kerajaan dapat melakukan program pembangunan tanah sepertimana yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional.
Beliau berkata terdapat negara luar yang cuba menjadikan Malaysia sebagai model untuk melaksanakan program pembangunan tanah yang sama, tetapi gagal.
Malah Perdana Menteri berkata langkah kerajaan PAS Kelantan yang memperkenalkan ladang rakyat juga dilihat tidak berjaya.
"Ada yang meminta FELDA ambil alih ladang rakyat di Kelantan, saya kata serah Kelantan pada BN dahulu, baru FELDA ambil alih (pelaksanaan ladang rakyat itu).
"Kecekapan dan iltizam mereka tidak sama macam kerajaan BN dan FELDA," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta para peneroka terus memberi mandat kepada kerajaan BN bagi memastikan agenda transformasi dapat dilaksanakan.
Hadir sama di majlis itu isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, calon BN bagi kerusi DUN Chini Datuk Abu Bakar Harun dan Pengarah Besar FELDA Datuk Faizoull Ahmad.
#Felda #Najib Tun Razak #pembangunan #transformasi
;