Fasa kawalan wabak diaktifkan - Khairy
Hasimi Muhamad
Jun 14, 2021 13:25 MYT
Jun 14, 2021 13:25 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) membuat keputusan mengaktifkan fasa keempat program imunisasi bagi mengawal penularan wabak.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, fasa kawalan wabak tersebut memfokuskan kawasan industri termasuk perkilangan yang beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan, fasa tersebut akan diperluaskan secara berperingkat kepada sektor-sektor lain bagi memberi pelindungan kepada sektor tersebut.
Katanya, langkah tersebut perlu untuk mengimbangi kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat.
"Oleh yang demikian kita akan mulakan dengan beberapa sektor industri pada minggu ini di mana satu usaha Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri akan diselaraskan oleh MITI terutamanya bagi sektor perkilangan yang beroperasi pada PKP.
"Selepas itu kita akan buka PPV industri di sektor-sektor lain termasuk sektor pembinaan, perladangan, dan seterusnya sektor peruncitan dan hospitaliti. Perkara ini akan kita gerakan secara berperingkat untuk memastikan sektor-sektor yang beroperai pada PKP dapat diberikan perlindungan melalui vaksinasi kita," atanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Jelas beliau, setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 11 kluster aktif di tempat kerja.
“Kita telah buat ketetapan dasar kawalan ini akan digerakkan dalam kalangan kluster dan ini untuk memastikan kluster tempat kerja dapat dikawal," katanya.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata kebanyakan PPV akan beroperasi pada setiap hari termasuk hari minggu.
#fasa kawalan wabak
#program imunisasi
#Khairy Jamaluddin
#COVID-19
#Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin
#JKJAV
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan