Fasa endemik: Pastikan kesiapsiagaan tertinggi, jangan sampai kena patah balik - Pakar

Madiha Abdullah
Februari 9, 2022 20:01 MYT
Negara berada di landasan yang betul untuk melangkah ke fasa endemik namun perjalanannya yang masih panjang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembuat polisi perlu memikirkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan sebelum membuat keputusan membuka sempadan negara, apatah lagi meletakkan negara dalam fasa endemik.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli berkata, ada antara komponen tujuh tonggak utama ke arah fasa peralihan ke endemik, bersifat jangka pendek yang mungkin membawa masalah jika tidak dikendalikan dengan betul.
Sistem kesihatan perlu dipastikan sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi segala kemungkinan, sebelum membicarakan perihal pembukaan sempadan dan memasuki fasa endemik.
"Kalau sudah buka sempadan, kita harus memastikan apa pun yang berlaku, kita tidak boleh patah balik seperti dahulu (lockdown) hanya sebab sistem kita tidak bersedia dan tidak boleh tampung keadaan.
"Sekarang kita lihat hanya sedikit kes jangkitan di tahap 3, 4 dan 5 tetapi ini kerana imuniti yang kita dapat daripada vaksinasi masih berfungsi pada kadar optimum.
"Kena faham yang imuniti boleh turun walaupun sudah ambil booster dan ketika itu, angka kes jangkitan pada tahap serius mungkin naik. Kita tidak boleh cakap apa yang berlaku hari ini, begitulah enam bulan lagi, siapa tahu mungkin ada varian baharu pula yang timbul," katanya ketika muncul dalam program Cerita yang disiarkan Astro AWANI, hari ini.
Tujuh tonggak itu ialah pematuhan 1 Prosedur Operasi Standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan, Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System - HAS), National Testing Strategy, TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek), Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support), Pembukaan Sempadan Negara Secara Berperingkat dan Duta-Duta Pemerkasaan Komuniti.
Beliau yang juga Pengarah Selangor Task Force For Covid-19 (STFC), menegur sikap orang ramai yang cenderung untuk mengabaikan SOP apabila berada dalam kalangan ahli keluarga atau rakan terdekat.
"Kena ingat, sekarang tempat awam bukan lagi tempat virus ini merebak, sebab orang Malaysia ini bagus, di tempat awam, mereka patuh SOP, pakai pelitup muka dan sebagainya.
"Tetapi kita lihat jangkitan sekarang banyak berlaku di sekolah, di pejabat malah di rumah. Di pejabat, ramai-ramai lepak di pantry tak pakai mask, di asrama sekolah, abaikan penjarakan dan tidak pakai mask. Dalam satu keluarga pula, kita lihat berlaku jangkitan sampai 20, 30 orang, rupanya baru hadiri kenduri," ujarnya.
Tambahnya, negara berada di landasan yang betul untuk melangkah ke fasa endemik namun perjalanannya yang masih panjang.
"Kita berada di landasan betul ke arah endemik tetapi kena faham kita tidak boleh hilang kawalan pemanduan, perlu ikut semua polisi dan SOP bagi pastikan kita sampai ke destinasi.
"Jika tidak, perjalanan kita selama ini sia-sia sahaja," katanya lagi.
INTERAKTIF: Apakah yang perlu anda lakukan jika anda mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti COVID-19?
Cerita Sebalik Berita: Bersediakah rakyat hadapi fasa endemik?
#endemik #COVID-19 #SOP #varian baharu #jangkitan
;