Fasa Dua PPN: Jemaah lengkap dua dos perlu patuhi SOP masjid, surau - JAIPk
Bernama
Ogos 10, 2021 04:25 MYT
Ogos 10, 2021 04:25 MYT
IPOH: Semua masjid dan surau di Perak masih kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk individu yang telah lengkap dua dos suntikan COVID-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusof Husin berkata SOP berkenaan masih kekal seperti sebelum ini dan ahli jemaah hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"Jemaah hendaklah mematuhi SOP terutamanya pemakaian pelitup muka, membawa sejadah dan mengamalkan penjarakan sosial.
"Masjid dan surau diingatkan agar terus mengadakan solat hajat bacaan Yasin, doa tolak bala agar wabak COVID-19 dapat dilenyapkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dilaporkan, kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos vaksinasi untuk menunaikan solat di masjid dan surau, bermula hari ini.
Pada bulan lepas, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pelaksanaan solat fardu, Jumaat dan sunat Aidiladha di masjid serta surau mengikut keluasan dewan utama, dengan mematuhi SOP ditetapkan dalam Fasa Dua PPN di Perak.
-- BERNAMA
#Aidiladha
#COVID-19
#SOP
#suntikan
#pelitup muka
#PPN
#Pelan Pemulihan Negara
#penjarakan sosial
#solat fardu
#Sultan Perak