Fasa 3 PPN: Rakyat Perlis, Sarawak, Labuan kini boleh makan di restoran, melancong dalam negeri

Afiezy Azaman
Ogos 3, 2021 04:55 MYT
Makan di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rakyat di Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sudah pasti teruja apabila ketiga-tiga negeri ini mula beralih ke Fasa 3 kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini.
Peralihan fasa tersebut diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin selepas penelitian perkembangan semasa PPN yang dibentangkan Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang pernah dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Jun lalu, terdapat beberapa kelonggaran mula diberikan dalam Fasa 3 PPN.
Antaranya semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti pub dan kelab malam.
Pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang Fasa 3 manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Makan di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal bagi tempoh tersebut dan bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing, serta kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu.
Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa.
Dalam pada itu, sektor pendidikan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta agensi lain tertakluk kepada takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa KKM.
Aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa Fasa 3, bagaimanapun kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang pada satu-satu masa.
Aktiviti pelancongan dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja.
Pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat dan Industri kreatif juga dibenarkan di fasa tiga, sebagai contoh acara langsung tanpa penonton.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #pergerakan rentas negeri #Perlis #rentas negeri #rentas daerah #SOP #Timbalan Perdana Menteri #Labuan #pelancong #KKM #Pelan Pemulihan Negara
;