Fasa 2 PPN: Rapid KL tingkat kekerapan rel, bas mulai esok

Astro Awani
September 9, 2021 19:42 MYT
Susulan peningkatan kekerapan ini, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata tempoh menunggu juga akan dikurangkan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rapid KL akan meningkat kekerapan perkhimatan rel dan bas susulan pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula esok.
Susulan peningkatan kekerapan ini, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata tempoh menunggu juga akan dikurangkan.
"Penumpang rel yang menggunakan laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Ampang/Sri Petaling boleh menjangkakan selang masa empat minit pada waktu puncak sebelah pagi dan petang hari bekerja, lima minit selang masa bagi MRT Laluan Kajang dan 10 minit bagi Monorail," memetik kenyataan tersebut.
Rapid KL turut memaklumkan, perubahan kekerapan itu turut melibatkan 23 laluan bas.
Syarikat itu juga akan akan menambah jumlah perkhidmatan rel dan bas sekiranya berlaku peningkatan penumpang dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Rapid KL turut memaklumkan bahawa 98 peratus kakitangannya telah menerima vaksin dan menjangkakan kadar 100 peratus vaksinasi akan dicapai pada pertengahan September 2021.
#Pelan Pemulihan Negara #Rapil KL #LRT #MRT
;