Fasa 2 PPN: Kedai gunting rambut jadi tumpuan di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 7, 2021 16:28 MYT
Seorang tukang gunting di Kepala Batas, Pulau Pinang melayan pelanggan di kedainya pada Rabu. - Gamnbar Astro AWANI
KEPALA BATAS: Hari pertama Pulau Pinang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyaksikan penduduk negeri itu menyerbu kedai gunting rambut dan kedai perkhidmatan mencuci kereta.
Tinjauan Astro AWANI mendapati kedua-dua kedai itu menjadi tumpuan penduduk sebaik premis mereka dibenarkan beroperasi bermula hari ini.
Pelanggan menyerbu kedai gunting rambut sejak awal pagi malah ada yang sanggup menunggu giliran di luar kedai berkenaan sebaik dibuka pada pukul 8 pagi.
Pemilik Ollia's Barber Shop di sini, Mohd Hamdi Azalei yang ditemui bersyukur kerana akhirnya perniagaan yang diusahakannya itu dapat beroperasi dan kembali menjana pendapatan.
Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengambil tempahan daripada pelanggan yang membuat tempahan awal kerana enggan membiarkan orang ramai menunggu lama di kedai selain mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, dalam usaha membantu kerajaan mencegah penularan COVID-19 juga, dia tidak menawarkan perkhidmatan gunting rambut kepada pelanggan yang datang tanpa temu janji (walk in).
“Kami hanya terima pelanggan yang buat temu janji sahaja dan pelanggan tidak akan dibiarkan tunggu lama sebab itu kami tidak ambil pelanggan yang datang secara walk in.
“Alhamdulillah keputusan kerajaan membenarkan operasi kedai ini nampak ada sinar buat kami, harap-harap keadaan kekal, kalau boleh janganlah tutup lagi (operasi perniagaan) sebab agak sengsara (kehidupan) kami (bila kedai tutup),” katanya sambil memberitahu kedai gunting rambutnya beroperasi sehingga pukul 8 malam.
Sementara itu, pelanggan yang ditemui menyatakan rasa teruja dan gembira kerana akhirnya dapat mengunting rambut selepas menunggu sekian lama.
Bagi pemandu bas kilang, Murali Kumaran, awal pagi lagi dia sudah keluar menuju ke kedai bagi memastikan dapat mengguting rambut.
“Sudah sebulan tunggu, hari ini rasa lega akhirnya dapat memotong rambut di kedai,” kata Murali.
Sebagai penjawat awam, Mohd Nasri Daud, menggunting rambut adalah keperluan bagi memastikan penampilan diri yang kemas.
Justeru, pembukaan kedai gunting sangat melegakan Mohd Nasri sekalipun terpaksa menunggu selama 15 minit sebelum mendapat giliran.
“Sudah lama saya tunggu nak gunting rambut, jadi hari ini dapat juga akhirnya. Dalam perjalanan tadi, sana nampak beberapa kedai gunting rambut lain ramai yang menunggu giliran, nampak sangat orang ramai gembira dan teruja,” kata Mohd Nasri.
Perkhidmatan mencuci kereta, kedai gunting rambut, kedai buku dan alat tulis antara sektor dibenarkan beroperasi sebaik PPN beralih pada Fasa Kedua.
Bermula hari ini, Pulau Pinang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN.
Perubahan daripada Fasa 1 itu susulan kejayaan negeri tersebut mencapai nilai ambang tiga indikator utama.
#kedai gunting rambut #kedai cuci kereta #pulau pinang
;