Fasa 1 PPN: Taman rekreasi awam dibenar beroperasi semula - PM Muhyiddin
Firdaus Azil
Ogos 15, 2021 11:29 MYT
Ogos 15, 2021 11:29 MYT
PUTRAJAYA: Selain aktiviti perdagangan dan pengedaran, kerajaan juga bersetuju untuk membuka kembali taman rekreasi awam bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 16 Ogos ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara, terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.
Namun beliau berkata, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti joging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.
“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja.
"Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.
“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.
"Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya lagi.
Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam , perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.
Katanya lagi, ia bagi memastikan kebenaran itu dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan, dan mengelakkan mudarat.
#Muhyiddin Yassin
#Pelan Pemulihan Negara
#Perdana Menteri
#SOP
#kesihatan mental
#taman rekreasi awam
#rentas negeri
#PPN
#sukan
#COVID-19