Fasa 1 PPN: Kelonggaran SOP bagi sukan, riadah, rekreasi bermula hari ini
Astro Awani
September 9, 2021 06:48 MYT
September 9, 2021 06:48 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilonggarkan mulai hari ini.
Antara kelonggaran itu ialah membenarkan aktiviti sukan tertutup atau 'indoor', kecuali gimnasium, kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
Kelonggaran itu dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang sudah lengkap divaksin.
Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu, di samping pematuhan SOP.
Kelonggaran lain bagi negeri dalam Fasa 1 PPN adalah membenarkan tiga aktiviti perniagaan bagi sektor perdagangan dan pengedaran.
Katanya, tiga aktiviti perniagaan itu adalah kedai bunga atau nurseri, kedai peralatan 'outdoor' dan galeri perumahan, yang juga dibenarkan beroperasi mulai Jumaat ini.
Bagi negeri dalam Fasa 2 dan Fasa 3 pula, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, 'hair dresser', dan salun kecantikan dibenarkan.
Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan.