Fasa 1 MRT laluan Putrajaya beroperasi hari ini
Astro Awani
Jun 16, 2022 09:00 MYT
Jun 16, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Fasa 1 Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya akan mula beroperasi hari ini, satu lagi bentuk kemudahan pengangkutan awam yang menjanjikan akses lebih baik untuk orang ramai.
Dua belas stesen akan dibuka dalam fasa ini termasuk Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh, Damansara Damai, Sri Damansara Barat, dan Sri Damansara Sentral.
Enam lagi stesen ialah Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Penumpang yang menggunakan laluan Putrajaya Fasa 1 akan menikmati pertukaran lancar ke MRT laluan Kajang, yang membolehkan mereka menukar laluan lebih cepat dengan platform di aras sama di stesen Kwasa Damansara.
Bas pengantara dan bas Go-KL akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir.
Berdasarkan kenyataan MRT Corp, MRT laluan Putrajaya fasa satu akan membawa orang ramai lebih dekat kepada alam semula jadi dengan menawarkan sambungan ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Taman Metropolitan Kepong.
Laluan itu pada awalnya dijadualkan mula beroperasi pada Ogos 2021, tetapi ditangguhkan ke pertengahan November lalu sebelum berdepan kelewatan sekali lagi.
Selepas siap sepenuhnya, MRT laluan Putrajaya akan meliputi jajaran sepanjang 57.7 kilometer dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.