Fasa 1 kawalan pergerakan akan kekal - Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
Jun 27, 2021 12:51 MYT
Jun 27, 2021 12:51 MYT
KUALA LUMPUR: Fasa 1 kawalan pergerakan kekal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator yang digariskan dicapai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, ketiga-tiga indikator itu ialah meliputi jumlah kes harian, tahap sistem kesihatan awam dan kadar vaksinasi.
“Saya nak jelaskan sebab ada yang tidak berapa faham, bahawa mereka kata sekarang ni dah nak tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya, tetapi mulai sekarang ini kita tak sebut PKP, kita sebut kita berada di fasa.
“Sekarang ini ialah fasa pertama dan fasa pertama ini sampai Julai, mungkin pertengahan dan sebagainya, jadi bukan kita kira 28 Jun, ada silap,” kata Perdana Menteri selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini pada Ahad.
Jelas Perdana Menteri lagi, fasa pertama ini akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan.
“Kita masih di fasa pertama dan fasa pertama ini kita akan lanjutkan sehingga mana kita telah mencecah nilai ambang.
“Ia termasuk kes di bawah 4,000, kes di ICU sudah turun dari paras tenat dan masalah vaksinasi yang akan ditingkatkan,” katanya.
Perdana Menteri menambah, peralihan fasa-fasa tersebut memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi.
Tegas Muhyiddin lagi, dalam masa sama, langkah-langkah untuk kawalan kepada masalah penyakit dan wabak masih berterusan.
"Umpamanya, di Selangor kita beri perhatian khusus kerana Selangor dilihat terkesan besar kerana kes-kesnya lebih 1,000, semalam 2,000 dan sebagainya.
"Jadi, sebab itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan (Menteri Kanan Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah umumkan kawasan-kawasan di Selangor akan diberikan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) yang lebih ketat di kawasan-kawasan yang diumumkan.
"Kenapa begitu, antara kes yang banyak berlaku ialah di Selangor seperti tempat kerja, kediaman ataupun dalam komuniti. Banyak telah berlaku begitu, kalau kita nak menurunkan kadar kes ini kita perlu memberi perhatian dalam kawasan-kawasan sebegini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beberapa langkah susulan lain dijangka dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kes di seluruh negara dapat diturunkan.
Melalui PPN, kriteria peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 adalah kes harian COVID-19 di bawah 4,000; kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap sederhana; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Peralihan ke Fasa ketiga pula akan berlangsung selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti ICU mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.
Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.
Manakala, Fasa Ketiga kepada Fasa Keempat PKP hanya dilakukan setelah purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes.
#kawalan pergerakan
#Pelan Pemulihan Negara
#COVID-19
#tiga indikator
#Pusat Pemberian Vaksin
#perintah kawalan pergerakan
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin