Farrah Naz dilantik Pengarang Kumpulan NST

Nickyson Nyambar
September 13, 2022 20:50 MYT
Pelantikan Farrah Naz ke NST sebagai pengarang kumpulan disifatkan selari dengan strategi NSTP untuk meningkatkan lagi penawaran kandungannya. - Gambar/ NSTP
KUALA LUMPUR: New Straits Times Press Berhad (NSTP), anak syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) berkuat kuasa 15 September ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, NSTP memaklumkan Farrah Naz telah berkhidmat di NSTP dengan menyandang pelbagai jawatan sejak tahun 2000 termasuk sebagai pengarang eksekutif, dan terkini beliau bertugas di Rangkaian Televisyen Media Prima sebagai penerbit eksekutif bagi program hal ehwal semasa.
Menurut kenyataan itu pelantikan Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan NST adalah selari dengan strategi NSTP untuk meningkatkan lagi penawaran kandungannya, selain pengalaman luas beliau dalam kewartawan media cetak dan di televisyen dapat membantu Media Prima melangkah ke hadapan bagi memperkukuh operasi berita di semua platform medianya.
BACA: Johan Jaafar selar gangguan parti politik terhadap entiti media
Sementara itu, Pengarang Urusan Kumpulan Mustapha Kamil Mohd Janor berkata NSTP akan terus melaksanakan perubahan termasuk dalam pengendalian bilik berita khususnya agar seiring dengan kemajuan pesat dan persaingan sengit dalam industri media.
"Sebagai kumpulan, kami telah mencapai kemajuan yang ketara sebagaimana terbukti dalam prestasi kewangan Media Prima sejak dua tahun terakhir ini. Penerbitan kami yang lain seperti BH (Berita Harian) dan HM (Harian Metro) kini mendahului dari segi jumlah penonton digital di Malaysia dan NSTP berharap dapat mengembangkan NST ke tahap yang sama," katanya.
Mustapha Kamil berkata sebagai akhbar berbahasa Inggeris yang bertanggungjawab, NST dalam beberapa tahun kebelakangan ini berusaha untuk beroperasi secara bebas daripada sebarang pengaruh luar termasuk pengaruh politik.
Katanya, selain itu sebagai syarikat senaraian awam kumpulan itu ditadbir oleh tadbir urus korporat yang ketat serta telus dengan Lembaga Pengarah yang berwibawa.
#Farrah Naz #Pengarang Kumpulan NST #Media Prima #Ahmad Lokman Mansor
;