Farm Fresh berjaya atasi kecaman dan ugutan diboikot
Sahlizah Mohamed
Mei 30, 2019 12:35 MYT
Mei 30, 2019 12:35 MYT
Produk tenusu terkenal dalam negara, Farm Fresh, yang berdepan kecaman serta ugutan diboikot sejak lebih seminggu lalu akibat difitnah kononnya ia milik syarikat bukan Melayu, kini kembali tenang dan reda.
Sebelum ini, perkongsian yang dibuat oleh seorang individu melalui laman Facebook miliknya itu turut disertakan dengan kata-kata berbaur fitnah yang berpotensi menjadikan situasi lebih teruk khususnya kepada pelanggan tegar produk itu.
Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Azmi Zainal serta Loi Tuan Ee tampil memberikan penjelasan sekali gus menafikan salah faham yang timbul sejak 19 Mei lalu.
“Bermain dengan isu rasis untuk viralkan sesuatu isu adalah satu tindakan yang tidak bijak. Dalam laman web atau mana-mana kenyataan, tidak pernah dimaklumkan syarikat ini adalah milik Muslim. Produk kami adalah produk Malaysia.
“Masa mula-mula saya fikir untuk saman, tetapi orang yang mula-mula mencetuskan keadaan itu meminta maaf. Jadi saya dengan Loi pun berbincang. Akhirnya kami batalkan hasrat. Orang ini pun ada anak isteri.
“Tindakan menyaman tidak akan membuatkan kami kaya walaupun kami akan berpuas hati,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Sebagai rekod, Farm Fresh sejak 10 tahun lalu yang diterajui oleh The Holstein Milk Co Sdn. Bhd.
Sehingga hari ini, sebanyak empat buah ladang lembu telah diusahakan mereka bermula di Kota Tinggi dan Desaru, Johor; Muadzam Shah, Pahang dan terkini sebuah ladang moden di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Selain susu segar, produk tenusu Farm Fresh juga boleh didapati dalam bentuk minuman yogurt.
Kejayaan Farm Fresh pada hari ini termasuk mengubah nasib ramai individu yang kini bergelar usahawan dan sehingga kini, terdapat sekitar 540 usahawan di bawah syarikat berkenaan dengan pendapatan lebih kurang RM50 juta manakala pendapatan kasar RM13 juta.
Mengulas tentang kejadian viral itu, Azmi berkata, kejadian itu menjejaskan wakil penjual apabila mereka terpaksa menjawab pelbagai persoalan pelanggan yang bertanyakan pelbagai soalan.
“Mereka bertindak membuat laporan polis kerana ia menjejaskan penjualan. Mereka kena jawab semua perkara.
“Pada saya, rakyat Malaysia seharusnya berbangga apabila Farm Fresh yang merupakan syarikat tempatan berjaya mengatasi produk daripada syarikat luar,” jelasnya.
Katanya, permintaan susu kurma pada hari ini mendapat sambutan yang sangat baik sehingga menjadi ikutan syarikat lain.
Sementara itu, Tuan Ee turut memberitahu, usaha dia dan Azmi dalam menternak lembu bukan satu pekerjaan mudah dan mereka bermula dengan 50 ekor lembu.
Justeru, dalam menstabilkan lagi empayar Farm Fresh, mereka telah membeli sebuah syarikat di Australia beberapa tahun lalu.
“Pelaburan itu bertujuan menggalakkan penghasilan baka lembu di Australia. Apa yang kita lakukan sekarang ialah terus menggunakan baka itu dan anak lembu yang dilahirkan dihantar ke Malaysia.
“Kita tidak mampu untuk menukar cuaca tropika di sini. Panas atau hujan, kita tak boleh buat apa-apa. Jadi daripada saya tukarkan keadaan cuaca mengikut lembu, kita tukarkan genetik.
“Genetik lembu itu kita tingkatkan agar ia sesuai untuk hidup dan tahan lasak bersesuaian dengan cuaca negara kita,” jelasnya.