Faridah pergi dalam keadaan baik, kami reda - Keluarga
Bernama
Mei 19, 2024 23:50 MYT
Mei 19, 2024 23:50 MYT
PENDANG: Keluarga Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia di Lubnan semalam, reda sambil menyifatkan arwah pergi dalam keadaan yang sangat baik.
Ibunya, Salmah Hassan, 57, berkata walaupun sedih, namun mereka sekeluarga menerima hakikat tersebut dan bersyukur, kerana sempat meluangkan saat-saat akhir bersama arwah di kediaman keluarga di kampung Sungai Mati, Tobiar dekat sini, sebelum arwah kembali bertugas bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Jumaat lepas.
"Arwah baru berumur 39 tahun, pergi dalam keadaan yang sangat baik semasa bertugas, dan makcik terima takdir ini. Sepanjang hayat arwah, tak pernah susahkan makcik, tak pernah sakit dan sentiasa sihat.
"Kerja ini (tentera) memang diminati arwah sejak dulu lagi. Sebab tu semangat dia kuat... banyak kali pergi temuduga dan akhirnya dapat kerja ni," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Tobiar dekat sini, malam ini.
Salmah berkata sebelum berlepas ke Lubnan pada November tahun lepas, anaknya itu bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani dan telah berkhidmat sebagai anggota keselamatan selama 18 tahun.
"Bila dapat arahan kena kerja di Lubnan, arwah tukarkan anak-anak balik bersekolah di kampung. Suami arwah pun asal orang sini, jadi senanglah nak uruskan anak-anak di sini, dekat dengan keluarga," katanya yang memberitahu berita kematian anaknya disampaikan sendiri oleh pengurusan tertinggi tentera, yang datang ke rumahnya pagi semalam.
Suami arwah, Noor Azmi Ariffin, 39, pula berkata keadaan isterinya sihat sepanjang sebulan bercuti di kampung dan langsung tidak pernah mengadu 'tidak sedap badan', sehinggalah hari beliau berlepas ke Lubnan pada Jumaat.
"Arwah tak pernah ada penyakit... Dok berulang ke hospital pun bawa anak perempuan ketiga yang sindrom Down ni saja. Anak saya ni ada masalah jantung juga, masih ada rawatan susulan di hospital.
"Keadaan anak-anak yang lain buat masa ni biasa saja, yang kecil tak berapa faham lagi, cuma yang besar sajalah, dia dah faham," katanya yang bekerja sendiri.
Allahyarham Faridah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13, Muhammad Afnan,10, Nurul Jannah, 7, (sindrom Down) dan Ainul Mardiah, 4.
Terdahulu Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam kenyataan memaklumkan anggota MALBATT itu, meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850-11 di Kem Marakah, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba ke Lubnan selepas selesai bercuti selama sebulan di Malaysia.
-- BERNAMA