Farid Kamil diingatkan tidak keluar kenyataan berkaitan kes

Bernama
Mac 5, 2018 11:50 MYT
Rabu lalu, Farid telah mengadakan sidang media di The Loft Event Space, Setia Alam. - Gambar fail
Mahkamah Majistret di sini memberi peringatan kepada pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Farid Kamil Zahari untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.
Majistret Nor Ariffin Hisham membuat teguran itu terhadap Farid, 37, ketika prosiding sebutan semula kesnya di mahkamah hari ini.
"Mahkamah ambil kira baru-baru ini ada kenyataan dibuat tertuduh, jadi mahkamah ingin beri peringatan kepada tertuduh. Diharap tertuduh dan pihak berkaitan tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes yang telah dituduh di mahkamah.
"Apa-apa masalah atau perkara berbangkit perlu dikemukakan di mahkamah dan dibawa ketika perbicaraan," kata majistret itu dan menambah apa yang dinyatakan dalam kenyataan tertuduh secara langsung atau tidak langsung, mungkin ada kaitan dengan pertuduhan dan mengingatkan peguam untuk meneliti perkara itu.
Peringatan itu diberi berikutan Farid telah mengadakan sidang media di The Loft Event Space, Setia Alam, Rabu lepas.
BACA: 'Lain yang dilapor, lain yang ditahan' - Farid Kamil dedah dua individu sebenar
BACA: Polis akan panggil Farid Kamil
Peguam Faizul Mohd Nasir kemudian memohon maaf dan berkata sidang media yang dibuat anak guamnya tidak merujuk dan tidak menyentuh secara langsung terhadap pertuduhan.
"Saya rasa tidak ada sebarang subjudis, bagaimanapun saya berterima kasih atas teguran," katanya.
Terdahulu mahkamah menetapkan 7 Mei untuk pengurusan kes itu.
Pada 16 Jan lepas di mahkamah sama, suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
BACA: Sudah lama berdiam, Farid kini sedia jawab apa saja
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.
Bagi pertuduhan ketiga, pelakon itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.
Farid Kamil turut didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.
Selain itu, pada 25 Jan lepas Farid juga mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid).
Turut hadir bersama Farid pada prosiding hari ini ialah adik lelakinya Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.
-- BERNAMA
#cedera #Dadah #Farid Kamil Zahari #mahkamah #Mahkamah Majistret #penjawat awam #polis #subjudis
;