Farah Ann 'serang' pengkritik: Tong kosong memang berbunyi nyaring
T K Letchumy Tamboo
Jun 13, 2015 13:14 MYT
Jun 13, 2015 13:14 MYT
Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi hari ini bangkit ‘menyerang’ kembali mereka yang mengkritiknya kerana mengenakan pakaian yang menjolok mata semasa di Sukan SEA 2015 di Singapura.
Farah Ann, melalui laman Twitternya, menulis peribahasa "empty cans make the most noise," atau ‘tong kosong berbunyi nyaring’ , yang membawa maksud orang kurang pengetahuan yang suka bercakap kosong.
Kritikan ke atas Farah Ann bermula apabila sebuah stesen televisyen swasta memuatnaik gambar yang dikatakan menjolok mata, selepas dia memenangi pingat emas ketiga skuad gimnastik pada Rabu melalui kategori rutin lantai.
Kritikan antara lain berkata Farah Ann tidak akan mendapat pahala dan harus menjawab di akhirat nanti.
Namun demikian, ada juga yang mempertahankan pakaian itu, dengan menyifatkan Farah Ann sudah mengharumkan nama negara dengan pingat emasnya selain tidak bersalah kerana memakai pakaian yang bertepatan dengan sukan yang disertainya.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Farah Ann tidak seawajarnya diganggu dan biar Tuhan sahaja yang menghakimi beliau.