Farah Amani kembali ke pangkuan keluarga
Astro Awani
Ogos 29, 2018 18:31 MYT
Ogos 29, 2018 18:31 MYT
Mohammad Fauzi Abd Wahab, 49 tahun nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan lega apabila anak bongsunya yang dilaporkan hilang selamat ditemui serta pulang ke pangkuan keluarga.
Menceritakan lebih lanjut, Mohammad Fauzi menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 11.50 pagi yang mendakwa menemui anak kesayangannya, Farah Amani yang berlegar-legar di tepi jalan berhampiran Sikamat, Seremban Negeri Sembilan.
Kesungguhan dan keikhlasan orang awam itu memberitahu mengenai kedudukan anaknya itu sedikit melegakan hingga meminta individu terbabit membawanya ke balai polis berhampiran.
"Saya kemudian menghubungi Balai Polis Sikamat, Seremban untuk mengetahui kebenaran perkara itu. Alhamdulillah ia sahkan oleh anggota polis yang bertugas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Akui Mohammad Fauzi, sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada orang awam itu, isterinya, Zaleha Kadam, 50 tahun bergegas ke Balai Polis Sikamat, Seremban bersama beberapa ahli keluarga sebelum beliau menyusul menaiki kenderaan lain.
Beliau turut memaklumkan anaknya itu dalam keadaan sihat dan enggan memanjangkan punca sebenar anaknya itu lari dari rumah.
Sebelum ini pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussien Onn itu disedari hilang apabila ibunya, zaleha mahu mengejutkannya untuk solat Subuh pada pagi Isnin
Susulan kehilangan Farah Amani, Mohammad Fauzi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
#Balai Polis Sikamat
#Bandar Tun Hussien Onn
#Farah Amani
#hilang
#Mohammad Fauzi Abd Wahab
#Negeri Sembilan
#Seremban