Farah Amani, balik jumpa mama... syurga bawah telapak kaki ibu - Ayah
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 28, 2018 06:23 MYT
Ogos 28, 2018 06:23 MYT
"Baliklah. Jumpa mama. Saya nak dia balik, cari mama dia.
"Itu sahaja saya nak cakap. Sebab, syurga di bawah telapak kaki ibu."
Demikian luahan seorang bapa yang kesal apabila anak gadisnya yang baru menyambut ulang tahun ke-15 Ahad lalu, lari meninggalkan rumah.
Mohammad Fauzi Abd Wahab, 46 tahun, menjelaskan, kali terakhir anaknya Farah Amani dilihat adalah pada jam 11 malam, sebelum masuk tidur di rumah mereka di Bandar Tun Hussein Onn.
Kehilangannya disedari ibunya apabila mendapati remaja Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn itu tiada di dalam biliknya ketika ingin mengejutkan untuk solat Subuh kira-kira jam 6 pagi.
“Kami memang tak ada masalah. Cuma abang dia selalu tegur adik dia ni. Mereka pun dua beradik sahaja.
"Jadi, abang akan tegur kalau adik dia balik lambat. Semalam dia balik lambat, itu yang abang dia tegur tu,“ ujar Mohammad Fauzi.
Farah Amani yang dilihat kali terakhir memakai seluar trek panjang serta berjaket hitam meninggalkan rumah dengan sekeping nota.
Kata Mohammad Fauzi, dalam notanya, Farah Amani menyatakan rasa tidak puas hati susulan perbalahan dengan abangnya dan meninggalkan rumah.
“Kami cuba menghubungi telefon bimbitnya namun tidak diangkat. Bagaimanapun, petang tadi kira-kira pukul 5 petang dia ada menghantar mesej kepada ibunya.
“Dia memaklumkan berada di Seremban, Negeri Sembilan, serta kelaparan.
"Namun apabila kami cuba menelefonnya, panggilan itu tidak dijawab,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Tun Hussein Onn dekat sini.
ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan dan usaha mengesan remaja terbabit sedang dijalankan.
Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat megenai Farah Amani boleh terus menghubungi Mohammad Fauzi di talian 013-208 3747 atau isterinya Zaleha di talian 019-6688705.
#abang
#anak
#Bandar Tun Hussein Onn
#Farah Amani
#Farah Amani Mohammad Fauzi
#lari
#Mohammad Fauzi Abd Wahab
#remaja
#rumah
#sekolah
#SMK Bandar Tun Hussein Onn
#teguran
#tidak puas hati