Fantasia AquaPark kembali beroperasi 2 Disember

Bernama
November 27, 2021 14:22 MYT
Penambahbaikan yang dijalankan turut merangkumi pematuhan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Facebook Fantasia AquaPark
JITRA: Taman tema air Fantasia AquaPark yang merupakan antara tarikan utama di negeri ini akan kembali beroperasi mulai 2 Disember ini selepas ditutup beberapa bulan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pembukaan semula pusat rekreasi itu dilaksanakan oleh pengurusan baharu iaitu SAB Global (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Butterworth, Pulau Pinang yang telah melabur sebanyak RM1.3 juta bagi menambaik baik kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Pengarah Urusan SAB Global Nar Azaman Ibrahim berkata penambahbaikan turut merangkumi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pengunjung.
"Persediaan menyeluruh telah dilakukan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan bagi mematuhi SOP ditetapkan. Pengunjung akan diperiksa suhu dan perlu memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan taman tema ini kecuali sewaktu melakukan aktiviti air.
"Walaupun kapasiti taman tema ini boleh menampung hingga 500 pengunjung pada satu-satu masa, tetapi kita hadkan jumlah pengunjung kepada 50 peratus daripada jumlah itu bagi membolehkan penjarakan fizikal antara pengunjung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nar Azaman berkata sempena pembukaan semula itu pihaknya menawarkan promosi harga tiket masuk RM18 bagi semua kategori pengunjung kecuali warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dikenakan bayaran RM12 manakala percuma bagi kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah.
Beliau berkata taman tema berkeluasan 4.5 ekar (1.82 hektar) itu memiliki lima tarikan sedia ada iaitu 'Children Splash Pad', 'Twin Water Slide', 'Lazy River', 'Water Cave' dan kolam utama selain tarikan baharu iaitu Rumah Gergasi Musang King dan pusat refleksologi yang dikendalikan OKU.
Menurutnya semua pekerja taman tema itu telah lengkap divaksinasi COVID-19 dan telah menyertai kursus pertolongan cemas bagi membantu pengunjung sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Kita anggarkan kira-kira 15,000 pengunjung akan mengunjungi taman tema ini setiap bulan dan kita percaya orang ramai tidak sabar untuk berkunjung ke sini," katanya.
-- BERNAMA
#fantasia aquapark #pandemik #SOP #rekreasi
;