Fantasi 'Darkside' media sosial, demi wang ringgit sanggup gadai moral
Fahmi Izuddin
Mac 5, 2024 19:20 MYT
Mac 5, 2024 19:20 MYT
KUALA LUMPUR : Akaun Darkside atau lebih dikenali sebagai Akaun DS di media sosial merupakan satu kaedah persundalan dan penjualan aktiviti seksual di media sosial.
Ia merujuk kepada identiti ‘gelap’ dan berbeza yang dipamerkan individu di media sosial.
Di dunia maya, ia bukan suatu perkara yang baharu, malah sudah menjadi kebiasaan segelintir pengguna media sosial untuk mengakses kandungan pornografi.
Tanpa memperlihat wajah, individu hanya perlu berkongsi dan menjual adegan ‘panas’ secara dalam talian.
Selain memenuhi kepuasan nafsu, aktiviti Darkside ini juga turut menjanjikan keuntungan yang besar.
Tinjauan Astro AWANI mendapati pakej video dan gambar lucah yang dijual bermula serendah RM150 dan boleh mencecah angka ribuan ringgit.
Lazimnya, setiap pakej mengandungi lima hingga sepuluh kandungan video lucah.
Untuk melanggan perkhidmatan dan menonton kandungan, individu perlu memasukkan kata kunci yang tepat di aplikasi media sosial.
Antara aplikasi yang signifikan dengan kegiatan terbabit adalah aplikasi X dan Telegram.
Ketagihan pornografi dan gangguan seksual
Seorang bekas penggiat Darkside yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, berkongsi pembabitannya dalam dunia itu adalah disebabkan ketagihan pornografi sejak di bangku sekolah.
“Saya ni dari sekolah ada ketagihan pornografi. Itu starting point dialah. Terlibat dengan DS sebab benda tu saya nak tahu.
"Pada masa sama saya nak cari diri saya, nak tahu diri saya siapa. Sejak start PKP saya masuk dalam scene (DS) ni, saya memang dapat instant fame, tak lama pun untuk nama saya naik. Follower dalam tiga hingga empat bulan naik dari 500 ke ribuan. Waktu tu rasa macam dah rasa ada pengaruh,” katanya ketika berkongsi kepada Astro AWANI.
Seorang lagi penggiat DS yang mahu dikenali sebagai Ameera berkongsi penglibatannya dalam aktiviti jijik itu disebabkan trauma gangguan seksual dan kesempitan hidup sewaktu bergelar pelajar.
“Saya pernah dicabul kawan saya waktu sekolah, memang perit kalau ingat semula. Saya jadi trauma, sangat trauma hinggakan saya murung dan merasakan diri saya takda harga.
“Masuk universiti saya masih lagi merasakan begitu. Waktu dekat universiti saya tak ada duit, nak makan pun susah. Kawan saya kenalkan saya dengan aktiviti DS ni, ambil gambar badan atau buat video tak senonoh tak tunjuk muka, saya boleh dapat RM300 hingga RM600 sebulan,” katanya.
Susulan itu, Ameera berkata dia mula merasa ketagih dan hanya menawarkan perkhidmatan seks kepada individu yang dikenali dalam komuniti terbabit dan menjual rakaman adegan itu pada kadar harga yang tertentu.
"Saya mula ketagih, saya mula berani lakukan sex service pada kadar yang mahal. Tapi saya hanya buat dengan orang yang saya kenal. Mutuals dalam komuniti DS sahaja. Saya dapat lebih kurang RM1,000 hingga RM2,000 sebulan untuk pakej 5 atau 10 video seks," katanya lagi.
Modus operandi akaun Darkside
Komuniti Darkside ini tidak hanya melibatkan pelajar, malah turut melibatkan golongan profesional.
Berdasarkan pemantauan, modus operandi aktiviti ini secara aktifnya berlaku di aplikasi X, manakala kaedah pembayaran melalui transaksi bank dilakukan di aplikasi Telegram.
Individu yang menjual akan memuat naik kandungan gambar dan video panas, tanpa wajah dengan 'teaser' tidak lebih 30 saat bagi memancing mana-mana pelanggan yang berminat.
Bila ikan termakan umpan, pelanggan akan berhubungan dengan penjual bagi mendapatkan kandungan berdurasi penuh.
Setelah itu, transaksi akan dilakukan, sama ada di aplikasi yang sama, atau perlu menekan pautan membawa ke aplikasi yang berbeza.
Fantasi 'aneh' si pembeli rahsia
Bercerita berkenaan kisah silamnya, Eddy berkata, sewaktu aktif dalam kegiatan tidak bermoral ini, beliau pernah didekati pembeli rahsia yang menginginkan kandungan gambar dan video tidak senonoh dengan tawaran wang melebihi RM2,000.
Bahkan, pembeli rahsia berkenaan meminta Eddy untuk merakam aksi seks erotik demi kepuasan nafsunya sendiri.
"Pembeli rahsia ni approach saya, dia minat tengok content saya yang selalu post pasal main gitar, dan character yang saya create dekat akaun DS saya seolah-olah saya macam budak punk, tapi tidak pun.
"Jadi individu itu minat dan approach, dan sebabkan rasa ingin tahu dan nak duit dan dalam keadaan lost sebab pengaruh dadah, saya berhubung dengan dia. Pembeli rahsia tu minta saya. Sambil saya layan permintaan dia, hati saya bergejolak tau. Akhirnya saya tolak banyak permintaan dia sebab dah luar dari akal," kongsinya.
Sinar 'hijrah' dan seribu satu penyesalan
Umpama perang di jiwa tidak berkesudahan, membenam nafsu menuntut hidayah dan keinsafan.
Pada akhirnya, hanya seribu satu penyesalan yang menyelubungi mereka.
Mereka berdua berkongsi bagaimana berjaya keluar dari dunia hitam itu dan berhijrah daripada melakukan kegiatan terkutuk itu.
Bagi Ameera, dia keluar dari dunia Darkside itu kerana tidak inginkan perkara sama berulang kepada insan tersayang pada masa akan datang.
"Saya keluar dari kejahilan saya tu sebab saya takut... takut dengan balasan Allah, saya jahil saya mengaku. Saya rasa hina dan hidup tak tenang.
"Lagipun tak selamat untuk saya teruskan keadaan ni. Tak lama lagi akan jadi isteri orang, saya tak nak benda sama jadi dekat anak saya dan keturunan saya," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Eddy menyifatkan beberapa episod kehidupan yang mengingatkannya kepada kematian memetik sinar keinsafan untuknya berhijrah.
"Saya berhijrah sebenarnya sebab hidayah, ada beberapa episod yang mengingatkan saya kepada kematian. Jadi hati saya jentik mengingatkan Allah nak selamatkan saya, dah lah. Allah bagi peluang untuk taubat lagi. Saya takut dosa DS saya, dosa tu dah bernanah," kongsinya.
Mereka kini berharap kisah gelap ini menjadi teladan kepada mana-mana individu yang masih dalam kehanyutan dengan harapan perkongsian mereka itu dapat membawa sinar ‘hijrah’ terhadap individu yang masih terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu.