FAMA tingkat import kelapa dari Indonesia pastikan bekalan domestik mencukupi

Bernama
Disember 24, 2024 06:20 MYT
Pembelian kelapa tua itu susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat faktor cuaca tidak menentu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia sekali gus memastikan bekalan mencukupi bagi kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.
Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerusi anak syarikat FAMACO, telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Langkah itu, katanya susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat faktor cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas sehingga menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.
"Kemasukan bekalan import secara konsisten sejak awal Disember lepas telah membantu menstabilkan harga kelapa di pasaran dan berdasarkan pemantauan FAMA, langkah ini telah mula mengimbangi permintaan bekalan kelapa di pasaran.
"Namun proses keseimbangan pasaran di antara bekalan dan permintaan ini akan mengambil masa berikutan permintaan yang tinggi ekoran musim perayaan. Situasi ini dijangka semakin pulih dan memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari 2025," menurut kenyataan itu.
Beliau berkata harga purata kelapa tua kini berada dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.93 sebiji di Semenanjung dan situasi itu dijangka semakin pulih serta memberi kesan positif kepada pengguna menjelang Januari.
Menurut FAMA, agensi itu juga sedang memperhebat kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pengimport, pemborong dan peruncit bagi memastikan rantaian bekalan kelapa terus lancar termasuk memudahkan proses logistik import kelapa tua dari Indonesia.
"Pemantauan berterusan dilakukan di seluruh negara bagi mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan bekalan selain kerjasama dengan MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan di pintu sempadan negara," menurut kenyataan itu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji, malah ada yang mencecah RM3.30 sebiji untuk kelapa bersaiz besar.
-- BERNAMA
#import #kelapa #Indonesia #keperluan domestik #FAMA
;