FAMA sasar jualan khas Aidiladha Madani RM11 juta

Bernama
Jun 25, 2023 14:13 MYT
Aminuddin Zulkipli (kiri) bersama Azli Yusof (dua, kanan) ketika Pelancaran Jualan Khas Aidiladha Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2023M/144H di Pasar Tani Stadium Seksyen 13 hari ini. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Program Jualan Khas Aidiladha MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak semalam hingga 28 Jun menyasarkan nilai jualan sebanyak RM11 juta.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata program itu melibatkan lebih 20,000 usahawan di 203 outlet pemasaran FAMA seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
Beliau berkata orang ramai tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan kerana FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi ini mencukupi.
"FAMA menyasarkan nilai jualan bagi komoditi ayam sahaja sebanyak RM440,000 bersamaan 30,000 ekor dan komoditi daging bernilai RM220,000 bersamaan 6.2 tan untuk jualan kali ini," katanya selepas melancarkan Program Jualan Khas Aidiladha MADANI peringkat kebangsaan di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini hari ini, yang turut dihadiri pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri.
Aminuddin seterusnya memberi jaminan bahawa bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa adalah mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.
"Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih di Program Jualan Khas Aidiladha MADANI ini," katanya.
Pada majlis sama beliau turut melancarkan jualan istimewa Kombo MADANI yang menawarkan seekor ayam, serai, lengkuas, halia dan daun kunyit dijual pada harga RM10 per unit buat 100 pembeli sahaja.
-- BERNAMA
#FAMA #KPKM #Program Jualan Khas #Aidiladha MADANI
;