FAMA sasar buka 14 pasar tani baharu, naik taraf 40 pasar tani sedia ada
Bernama
Januari 30, 2024 00:34 MYT
Januari 30, 2024 00:34 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) menyasarkan untuk membuka 14 pasar tani baharu selain menaik taraf 40 pasar tani sedia ada dengan nilai jualan RM200 juta tahun ini.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata sepanjang tempoh 39 tahun penubuhannya, pasar tani telah melalui beberapa fasa antaranya Fasa Pengenalan (1985-1994), Fasa Pengukuhan (1995-2003), Fasa Pemodenan (2004-2010), Fasa Transformasi (2011-2020) dan Fasa Pendigitalan (2021-kini).
"Pada 1985, pasar tani hanya berjumlah 12 buah melibatkan 317 orang peserta dengan nilai jualan RM1.4 juta setahun.
"Sehingga kini, terdapat 223 pasar tani di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan sebanyak 8,542 usahawan dan berjaya mencatatkan nilai jualan RM244.6 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan FAMA, pasar tani pertama dibuka di Kompleks Bilik Sejuk FAMA Tampoi, Johor Bahru pada 31 Jan 1985 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Pertanian.
Pasar tani diperkenalkan sebagai institusi pemasaran bagi tujuan membangunkan saluran pemasaran serta menggalakkan penyertaan usahawan tani memasarkan hasil pertanian sendiri kepada pengguna.
"Pada masa ini, pasar tani telah berkembang pesat dan ia kekal relevan sebagai pasar pilihan kepada pengguna dan menjadi outlet pemasaran yang berjaya serta menyumbang kepada kemajuan pembangunan ekonomi negara.
"Penubuhan pasar tani telah melahirkan ramai petani yang bersikap responsif serta mempercepatkan proses pembangunan sosio ekonomi masyarakat tani selaras dengan Dasar Agromakanan Negara," menurut kenyataan itu.
FAMA turut memaklumkan pencapaian pelaksanaan Jualan Agro MADANI sehingga 21 Jan tahun ini mencatatkan nilai jualan RM4.4 juta dengan penglibatan 4,120 usahawan dan telah memberi manfaat kepada isi rumah sebanyak 324,000 orang.
Pelancaran sambutan ulang tahun ke-39 penubuhan pasar tani peringkat kebangsaan diadakan di Pasar Tani Putrajaya yang disempurnakan oleh Abdul Rashid, pada Selasa.
-- BERNAMA