FAMA Sarawak perkenal perkhidmatan penghantaran AgroXpress
Astro Awani
Julai 25, 2020 19:39 MYT
Julai 25, 2020 19:39 MYT
Satu jenama perkhidmatan penghantaran baharu dikenali sebagai AgroXpress diperkenalkan oleh Agro Bazar Online (ABO) Trading.
Uniknya, perkhidmatan yang diselia oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak ini mengkhususkan penghantaran produk-produk pertanian dari usahawan tempatan di Sarawak.
Menurut Pengurus ABO Trading, Zamahari Hanapi, idea untuk mewujudkan platform atas talian itu bermula apabila pihaknya menyaksikan perkembangan positif hasil jualan produk ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Produk yang dibeli akan dikendalikan oleh ABO Trading. Jadi setiap pembelian secara atas talian akan dihantar oleh ABO Trading.
“Ia akan menjadi platform bersepadu terutamanya buat usahawan di luar kawasan,” katanya.
Tambah Zamahari lagi, sistem ini akan memberi manfaat besar kepada pelanggan dan usahawan tani kerana ianya mesra pengguna dan efisien.
Ujarnya, premis ABO kini menempatkan lebih 20 jenama tempatan dengan pelbagai pilihan produk dari Sarawak.
Walaupun penghantaran dilakukan secara terus kepada pelanggan, Zamahari berkata, pihaknya tidak mengambil ringan garis panduan keselamatan ketika menjalankan operasi tersebut terutama dalam kalangan kakitangannya.
“Sekiranya kakitangan kami melakukan penghantaran ke rumah, mereka tidak dibenarkan masuk.
“Barangan yang dihantar perlu ditinggalkan di perkarangan rumah iaitu di mana-mana bahagian yang bersesuaian seperti meja,” jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Dalam masa yang sama, Zamahari memberitahu platform yang diperkenalkan ini akan menambah peluang pekerjaan terutamanya buat lepasan siswazah, usahawan tani dan belia.
Zamahari turut menyarankan mereka yang berminat untuk menyertai AgroXpress sebagai penghantar boleh melakukan permohonan di laman sesawang www.agrobazaronline.com.my .
Zamahari berkata demikian pada majlis pelancaran AgroXpress di Pusat Komersil Swan di Kuching pada Sabtu.
#ABO Trading
#AgroXpress
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA
#Perintah Kawalan Pergerakan PKP
#Zamahari Hanapi