FAMA perkasa penuntut IPT dalam bidang usahawan menerusi program NBME

Bernama
November 10, 2023 07:30 MYT
Peranan dan kemampuan belia khususnya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam bidang keusahawanan terus diperkasa menerusi program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME). - Gambar fail AFP
KUALA LUMPUR: Peranan dan kemampuan belia khususnya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam bidang keusahawanan terus diperkasa menerusi program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME).
Program di bawah inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda termasuk dalam kalangan mahasiswa dengan memberi fokus kepada aktiviti pemasaran dalam talian dan platform digital.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Faisal Iswardi Ismail, program NBME yang digarap dalam Rancangan Malaysia Ke-12 itu mula dilaksana sejak 2021 dan sehingga kini FAMA menerusi program itu berjaya melahirkan seramai 3,779 usahawan muda.
"Pelajar akan memainkan peranan sebagai ejen pemasar, menggunakan konsep reseller atau dropship Agrobazaar Online, untuk memberi peluang kepada mereka dalam menjana pendapatan dan pada akhirnya menjadikan mereka usahawan pemasar secara digital.
"Sejak 2014 hingga September lepas, portal Agrobazaar Online mencatatkan 10,429 usahawan dan 33,342 stock keeping unit (SKU) produk yang didaftarkan dengan nilai transaksi terkumpul sebanyak RM12 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata, FAMA turut menganjurkan program NBME Explorace 2023 bagi peringkat politeknik, kolej komuniti dan IPT awam yang memasuki pusingan akhir semalam.
Menurut beliau NBME Explorace 2023 adalah program pertandingan bagi membantu pelajar politeknik, kolej komuniti dan IPTA yang berminat dalam bidang pemasaran untuk memperkembangkan kemahiran, pengetahuan dan strategi mereka bagi mencapai kejayaan dalam industri pertanian.
"FAMA menyasarkan program NBME Explorace 2023 ini akan disertai seramai 870 pelajar dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM435,000," katanya. - BERNAMA
#FAMA #usahawan #digital #NBME
;