FAMA kaji harga lantai belian sayur dan buah ladang kontrak
Bernama
Februari 23, 2025 17:21 MYT
Februari 23, 2025 17:21 MYT
Kajian harga lantai bagi produk di bawah seliaan FAMA akan dibuat dua tahun sekali dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pertanian. - Gambar hiasan/Astro AWANI
PASIR PUTEH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuat kajian semula penetapan harga lantai bagi sayur dan buah, susulan permohonan peserta ladang kontrak yang berdepan peningkatan kos input pertanian.
Ketua Pengarahnya Abdul Rashid Bahri berkata kajian harga lantai bagi produk di bawah seliaan FAMA akan dibuat dua tahun sekali dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pertanian.
"Berdasarkan kajian tersebut, kita akan melihat secara keseluruhan kos pengeluaran dan jika didapati berlaku peningkatan kos kita cuba tingkatkan semula harga lantai baharu supaya peserta ladang kontrak tidak terbeban.
"Setakat ini FAMA berjaya membeli tanaman melebihi harga lantai, sebagai contoh kita beli tembikai pada harga pasaran iaitu RM1.80 sekilogram berbanding harga lantai 80 sen dan harga belian boleh meningkat lebih tinggi berdasarkan permintaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai di Kampung Haji Wan Omar di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah FAMA Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim.
Abdul Rashid berkata semakan itu merupakan satu daripada agenda kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan negara selain memberi peluang kepada petani mendapat habuan yang memuaskan.
Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan pertambahan peserta ladang kontrak seramai 500 orang setiap tahun.
"Setakat ini terdapat seramai 3,300 peserta ladang kontrak di seluruh negara yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman dengan hasil jualan yang direkodkan sebanyak RM63 juta setahun.
"Lazimnya setiap tahun kita berjaya melepasi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu RM53 juta. Tahun lepas kita berjaya capai RM63 juta, jadi sasaran sama juga (RM53 juta) kita tetapkan untuk tahun ini," katanya.
-- BERNAMA