FAMA Fest 2024 catat nilai jualan RM8.4 juta di tujuh negeri - Arthur
Bernama
September 1, 2024 04:15 MYT
September 1, 2024 04:15 MYT
KENINGAU: Program FAMA Fest, anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), merekodkan nilai jualan sebanyak RM8.4 juta menerusi pelaksanaan di tujuh negeri pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program bermula di Perak, diikuti Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur itu memberi manfaat kepada 808 usahawan serta dimeriahkan dengan kehadiran sebanyak 459,417 pengunjung.
"Program ini mewujudkan platform bagi usahawan FAMA mempromosikan pelbagai hasil dan perkhidmatan pertanian termasuk keunikan makanan tradisi popular di dalam negara.
"FAMA Fest juga menjadi medan kepada komuniti tempatan bekerjasama mempromosikan serta menyokong produk tempatan sekali gus mencipta identiti tersendiri di kawasan masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan selepas merasmikan majlis penutup FAMA Fest 2024 @ Sabah di sini semalam.
Beliau berkata Sabah yang merupakan lokasi kelapan penganjuran program itu pada tahun ini memberi manfaat kepada 443 usahawan dengan menyasarkan nilai jualan RM250,000 dan mampu menarik 20,000 pengunjung dalam tempoh empat hari berlangsung bermula 29 Ogos lepas.
Arthur berkata orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai produk makanan dengan harga menarik bersempena dengan penganjuran FAMA Fest 2024 @ Sabah, dengan penyertaan 445 lot jualan meliputi sembilan segmen termasuk Jualan Agro MADANI dan jualan produk industri makanan asas tani.
Program itu katanya, turut menampilkan pelbagai pengisian menarik antaranya Jualan Kombo MADANI, jualan promosi buah-buahan tempatan seperti limau bali, durian, bambangan dan tarap yang diperoleh dari pelbagai kawasan di Sabah.
Arthur berkata program FAMA Fest telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya rakyat yang menerima manfaat penjimatan harga bagi barangan keperluan selain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan dengan meningkatkan pendapatan usahawan sejak ia dilaksanakan pada 2017.
"Dari 2017 hingga 2023, penganjuran FAMA Fest mencatatkan kehadiran 2.2 juta pengunjung serta penyertaan 2,180 usahawan dengan nilai jualan RM24 juta," katanya.
-- BERNAMA