FAMA buka 77 pusat jualan barangan segar - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Mac 31, 2020 16:47 MYT
Ismail Sabri memberitahu, pasukan keselamatan akan mengawal pintu masuk dan keluar pusat jualan itu dengan SOP penjarakan sosial akan diperketatkan.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di seluruh negara.
Menteri Kanan (Klauster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu diambil sebagai mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.
Katanya, disebabkan orang ramai tidak mempunyai banyak pilihan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka, mereka terpaksa menyerbu pasar basah secara beramai-ramai.
Ekoran itu, beliau berkata, kerajaan berhadapan dengan masalah untuk mengawal kesesakan di lokasi pasar-oasar basah.
"Antara pusat jualan yang akan dibuka adalag pasar tani terpilih, pasar tani kekal, pusat operasi FAMA, MyFAMA Outlet serta Kompleks Peladang," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Selasa.
Ismail Sabri memberitahu, pasukan keselamatan akan mengawal pintu masuk dan keluar pusat jualan itu dengan piawaian prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial akan diperketatkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis telah menahan 742 individu di sekatan jalan raya dan ketika rondaan pada Isnin.
Katanya, sebanyak 1,547 sekatan jalan raya dengan 383,488 kenderaan diperiksa pasukan keselamatan.
Sementara itu, Ismail Sabri juga menambah, semua syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran sewa kepada penyewa gerai di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk tempoh enam bulan.
#FAMA #ismail sabri yaakob #jualan #kerajaan #polis
;