FAMA buka 103 pasar tani bagi jualan khas Syawal Madani mulai 15 April
Bernama
April 9, 2023 05:45 MYT
April 9, 2023 05:45 MYT
TANGKAK: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka sejumlah 103 pasar tani di seluruh negara bagi melaksanakan Jualan Khas Syawal Madani mulai 15 April ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Abdul Rashid Bahri, yang menanggung kerja Ketua Pengarah FAMA, berkata pasar tani itu yang memfokus kepada jualan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri, akan beroperasi selama enam hari hingga 20 April dengan harga barangan yang berpatutan.
Beliau berkata pasar tani itu, yang menyasarkan jualan sebanyak RM12.5 juta, akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di Pasar Tani Kelana Jaya pada 15 April.
"Antara barangan yang akan dijual di pasar tani itu ialah daging, ayam dan sayur-sayuran manakala menjelang hari raya, kita akan menjual daun kelapa untuk dibuat ketupat," katanya kepada Bernama selepas program Jelajah Semarak Ramadan Kerjasama Strategik FAMA-Bank Rakyat 2023 Peringkat Negeri Johor di Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di sini pada Ahad yang turut dihadiri Pengarah FAMA Negeri Shahrizan Sudiman.
Abdul Rashid juga berkata pihaknya yakin barangan keperluan untuk menyambut ketibaan Syawal yang dijual di pasar tani itu mencukupi dan pemantauan secara 'turun padang' akan dilakukan.
Menyentuh program itu, beliau berkata ia adalah untuk meraikan peniaga pasar tani dan warga kerja FAMA sempena bulan Ramadan serta Syawal.
"Pemberian kit makanan oleh FAMA dan Bank Rakyat dalam program ini melibatkan 4,000 keluarga di seluruh negara dengan 200 penerima di Johor," katanya.
-- BERNAMA