FAMA anjur Karnival Agro MADANI di enam lokasi tahun ini
Bernama
Mei 31, 2024 06:45 MYT
Mei 31, 2024 06:45 MYT
BUTTERWORTH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 235,000 pengunjung dan 450 usahawan akan menerima manfaat menerusi penganjuran Karnival Agro MADANI @Pasar Tani Kekal (PTK) di seluruh negara tahun ini.
Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata enam PTK telah dipilih untuk diadakan karnival itu bermula dengan PTK Seberang Jaya, di sini, sebagai lokasi pertama diikuti PTK Chukai, Terengganu; PTK Chini Pekan, Pahang; PTK Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan; PTK Datin Halimah di Johor dan PTK Changlun di Kedah.
"Seiring dengan peranan FAMA dalam memperluaskan akses pasaran kepada pengguna, karnival ini dilihat bertepatan dalam membantu kerajaan untuk menangani kos sara hidup dengan memberi kebolehcapaian dan ketersediaan bekalan produk agromakanan dengan harga yang berpatutan kepada pengguna dan membantu para usahawan dalam memasarkan produk agromakanan secara terus di outlet pemasaran FAMA.
"Objektif Karnival Agro MADANI @PTK adalah untuk mempromosikan produk agromakanan, industri makanan dan asas tani, sayur-sayuran, buan-buahan, bunga-bungaan dan ternakan kepada masyarakat setempat di samping mewujudkan rangkaian pemasaran produk agromakanan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan golongan sasar; usahawan, petani, penternak peruncit, pemborong dan pengeksport," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Agro MADANI @PTK Seberang Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata menerusi karnival itu, usahawan boleh meluaskan pasaran produk industri asas tani dan produk segar tempatan ke pasaran dalam dan luar negara melalui sesi pemadanan dan pengaturan perniagaan yang telah disediakan oleh pihaknya.
Aminuddin berkata FAMA sentiasa komited untuk memajukan sektor agromakanan negara meskipun berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran kerana menyedari bidang itu mempunyai potensi cerah jika diusahakan bersungguh-sungguh.
Justeru, beliau berharap dengan adanya penganjuran karnival seperti itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bukan saja pengguna tetapi juga para usahawan dan pengeluar produk pertanian untuk memasarkan, mempromosi serta memperkenalkan produk mereka secara lebih meluas.
Sementara itu, beliau berkata Karnival Agro MADANI @PTK Seberang Jaya yang berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini menyasarkan RM500,000 nilai jualan usahawan dan dijangka menarik 30,000 pengunjung.
Program tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai produk pertanian dan industri asas tani pada harga berpatutan selain memperoleh maklumat mengenai perkhidmatan disediakan oleh kerajaan secara lebih jelas, tambah beliau.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan geran bantuan FAMA bernilai RM275,000 kepada 31 usahawan meliputi Geran Agropreneur Muda, Geran Change Upgrade Product (CUP), Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP), Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) dan Pertandingan New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Explorace.
-- BERNAMA