Falsafah kerajaan tidak bersifat 'cari glamor' - KJ
Madiha Abdullah
November 26, 2017 16:12 MYT
November 26, 2017 16:12 MYT
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menegaskan kerajaan tidak akan sesekali meletakkan falsafah popular hanya untuk memenangi hati rakyat.
Ini katanya kerana apa yang lebih penting adalah memenuhi keperluan rakyat, di samping memajukan dan mentransformasikan negara seiring wawasan yang telah ditetapkan.
"Senang jadi pembangkang kerana tugas mereka hanya berjanji, dan janji-janji itu pula kemungkinan besar tidak akan ditunaikan.
"Kerajaan pula meletakkan janji bukan sahaja seiring dengan keperluan rakyat tetapi kita juga mahu memastikan negara akan terus maju di masa depan," tegas Khairy.
Khairy berkata demikian sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MyPPP yang berlangsung di Dewan Felcra di ibu negara, hari ini.
Beliau juga menggesa jentera parti BN agar lebih mesra belia kerana hakikatnya, golongan inilah yang akan memainkan peranan penting dalam perkembangan negara serta kejayaan parti dalam pilihan raya akan datang.
"Pada pemerhatian saya, golongan belia masih belum buat keputusan. Jadi pintu masih terbuka untuk kita pujuk mereka memahami aspirasi kerajaan.
"Atas sebab itu, penting untuk anggota parti turun padang bergaul dan mengenali mereka. Fahami isi hati dan dengar buah fikiran mereka," tambah Khairy.
Dalam ucapannya, beliau turut memuji komitmen tidak berbelah bahagi MyPPP sebagai salah satu anggota jentera BN, dan berharap ia akan diteruskan terutamanya dalam menggembleng tenaga untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
#Barisan Nasional
#Belia
#kerajaan
#Khairy Jamaluddin
#MyPPP
#pembangkang
#pemuda
#perhimpunan
#pilihan raya
#rakyat