Falsafah 'Ahmadi' jelas bercanggah ajaran Islam - IKIM

Sinar Harian
Mac 14, 2024 12:25 MYT
Menurut Ketua Pengarah IKIM, ajaran 'Ahmadi' ini aktif di pelbagai platform media sosial namun menjadi agak popular melalui penstriman langsung di TikTok. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius ajaran sesat ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' dan akan melakukan sebarang usaha untuk membendung penyebaran ajaran sesat di Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Prof Madya Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil menegaskan, ajaran sesat tersebut tiada kaitan dengan Islam, walaupun kandungannya banyak memetik ayat-ayat al-Quran, dan hadis Nabi SAW.
Menurutnya, ia juga jelas mengandungi banyak percanggahan dengan Islam meskipun secara luarannya seolah-olah menampakkan ia berbaur ajaran Islam.
"Ajaran sesat ini aktif melakukan pelbagai platform media sosial. Namun mereka menjadi agak popular melalui penstriman langsung (live stream) di platform TikTok.
"Kebimbangan tercetus kerana akaun Tiktok tersebut mempunyai lebih 30,000 pengikut (followers) dan jumlah penonton yang ramai apabila mereka melakukan (live), selain menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi mereka.
"Ajaran ini menyeru orang ramai agar turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin-pemimpin Imam Mahdi yang didakwa telah muncul masa kini.
"Mereka juga mempercayai penjelmaan semula (reincarnation), mempercayai bahawa utusan tuhan itu terdiri daripada manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa and Nabi Muhammad SAW.
"Falsafah dan konsep ajaran ini jelas mengandungi banyak percanggahan dengan ajaran Islam dan bersifat plularisma agama. Orang yang memiliki sedikit ilmu pengetahuan Islam pasti menyedari ia jelas menyalahi ajaran Islam yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai inisiatif membantu pembendungan ajaran sesat tersebut, IKIM akan menggunakan semua saluran dan platform seperti Radio, TVIKIM, media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya bagi memberikan kefahaman jelas kepada masyarakat.
Ia termasuk menyedarkan masyarakat awam betapa bahayanya ajaran sesat berkenaan jika ia menular.
"IKIM juga akan menghasilkan penulisan oleh pegawai-pegawai penyelidik dan para felo yang akan diterbitkan dalam akhbar perdana dan laman web IKIM bagi memberi kefahaman yang sebenar kepada masyarakat," katanya.
Ajaran sesat tersebut dikepalai oleh seorang individu mengaku bahawa dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq.
Manakala pendeta (bishop) mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Bin Amaluddin.
Saluran di aplikasi YouTube The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) juga didapati mempunyai seramai 24,300 pengikut dan 275 video. - Sinar Harian
#ajaran sesat #IKIM #Ahmadi #Imam al-Mahdi
;