Fakulti Komunikasi dan Media UiTM tidak akan digabung - KPT
Fareez Azman
Februari 20, 2023 18:14 MYT
Februari 20, 2023 18:14 MYT
KUALA LUMPUR: Penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dibatalkan.
Jelas Persatuan Alumni Masscomm UiTM keputusan terbabit dibuat Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof Datuk Husaini Omar dalam satu mesyuarat bersama pada pagi Isnin.
"Prof Husaini dalam satu mesyuarat bersama para wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM memaklumkan bahawa Kementerian itu telah memutuskan supaya FKPM tidak digabungkan seperti yang pernah diumumkan oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Roziah Janor pada Oktober lalu," menurut satu kenyataan pada Isnin.
Hadir sama dalam mesyuarat itu, Prof Roziah, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Prof Haryani Haron, serta Ketua Pengajian Komunikasi dan Media UiTM, Dr Wan Hartini Wan Zainoddin.
Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Alumni Masscomm, Basree Rakijan keputusan yang dibuat kementerian itu disambut baik dan membuktikan bantahan dibuat selama ini dipandang serius oleh pihak KPT.
Malah keputusan itu jelasnya amat tepat dalam usaha memperkasakan FKPM pada masa akan datang.
"FKPM yang telah 50 tahun ditubuhkan merupakan satu fakulti yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini.
"Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenal pasti demi mempastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan FKPM yang lebih berwibawa," ujarnya lagi.
Pada Oktober lalu, Alumni Masscomm UiTM memulakan siri bantahan terhadap penggabungan ketiga-tiga fakulti yang kini dinamakan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.
Menerusi bantahan itu, mereka menegaskan, pengajian komunikasi lebih fokus kepada melatih pelajar berfikir secara kritikal serta menulis dengan baik dan ia tidak memerlukan penggabungan dengan bidang sains komputer dan matematik.