Faktor usia bukan penentu keupayaan memandu - Tun Mahathir

Hafizi Rosli
Oktober 5, 2021 10:43 MYT
Rakaman video Dr Mahathir memandu pernah tular di media sosial tidak lama dahulu. -Video tular
KEBOLEHAN seseorang untuk memandu di jalan raya tidak hanya bergantung kepada faktor umur.
Namun ia lebih kepada keupayaan mereka untuk memandu seperti tahap penglihatan, pendengaran yang baik serta pantas bertindak.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau akui masih berupaya memandu kerana dikurnia tahap kesihatan yang baik.
"Kebolehan kita tidak bergantung kepada umur, pada ketika ini walaupun umur dah lebih namun masih lagi cergas, masih boleh berfikir dan buat kerja termasuk memandu kereta.
"Jadi saya sekarang tak ada gangguan apa pun, saya masih boleh memandu, penglihatan saya masih baik, pendengaran juga baik.
"Saya boleh nampak jalan dan tiada masalah nak memandu ke mana-mana pun," jelasnya ketika diwawancara dalam segmen 'Behind the Wheel with Dr Mahathir' di YouTube MalaysiaNow.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada syor oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.
BACA: Polis syor hadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas
Jelas Dr Mahathir, lazimnya warga emas akan mempunyai keupayaan yang semakin berkurang, namun ia hanya berlaku kepada sebilangan orang sahaja.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala boleh memastikan keupayaan seseorang untuk memandu itu terjamin.
Bagi Dr Mahathir, beliau bersyukur kerana masih boleh memandu pada usia menjangkau hampir 100 tahun.
"Saya kalau nak memandu dari Alor Setar ke Kuala Lumpur mungkin tiada masalah, boleh memandu jauh.
"Namun sekarang tidaklah, tidak boleh jalan jauh," katanya.
Nasihatnya, pengguna harus terus berdisiplin dan pastikan berada di lorong betul mengikut kelajuan kenderaan.
#Mahathir Mohamad #warga emas #memandu #kereta
;