Faktor menarik dan menolak, main peranan pendidik bersara awal - Fadhlina Sidek

Faida Rahim
Jun 14, 2023 17:44 MYT
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mengurangkan jurang permohonan warga pendidik bersara awal. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR : Beberapa faktor menarik dan menolak dikenal pasti dalam kalangan guru yang memohon bersara awal.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan, antara faktor menarik adalah atas pilihan sendiri, berehat dan kekuatan ekonomi sudah mencukupi.
“Dalam konteks ini kita sebut sebagai faktor gembira... maknanya mereka bersara dengan gembira.
“Ada juga faktor lain salah satunya penguasaan teknologi kemudian faktor lain yang kita sedang perhalusi,” katanya ketika ditemui di Perasmian Majlis Penutup Konvensyen Islam Dan Melayu Peringkat Selangor di Shah Alam pada Rabu.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mengurangkan jurang permohonan warga pendidik bersara awal.
“Ada yang bersara kerana sakit, itu kita tidak boleh hold. Jadi dalam konteks ini, ada yang wajib, ada yang pilihan. Yang wajib itu diteruskan ikut proses. Yang ikut pilihan itu, kita lihat dari segi alasan dia,” katanya.
Dalam pada itu, di peringkat KPM, pihaknya sedang melihat intervensi dalam mengatasi masalah bekalan guru di negara ini.
“Pertama adalah soal menjaga profesionalisme, untuk memastikan mereka bersara ikut tempoh masa supaya dapat kurangkan isu kekurangan guru, soal pembangunan kompetensi dan sebagainya.
“Kedua, kita mahu melatih lebih ramai guru dan bekerjasama dengan UPSI serta KPM juga untuk atasi masalah dalam tempoh singkat,” katanya.
#guru bersara awal #tenaga pendidik #Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek
;