Faktor komersil bukan alasan untuk tukar nama tempat - Sasterawan Negara

Syafique Shuib
Januari 21, 2014 08:10 MYT
Datuk Baharuddin Zainal. -Gambar BERNAMA
Faktor komersial, transformasi serta pembangunan yang dijalankan tidak boleh dijadikan alasan untuk pertukaran nama sesebuah tempat dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Itulah pendapat Sasterawan Negara Datuk Baharuddin Zainal ketika dihubungi pihak Astro AWANI berhubung isu ‘pertukaran’ nama Kampung Pantai Dalam kepada Pantai Sentral.
“Nama Bahasa Melayu pun boleh menjadi nama komersil. Namum, kadang-kadang nama sahaja komersil namun kegiatan di kawasan berkenaan tidak komersil.
“Nama sahaja juga tidak perlu dijadikan alasan. Jika kegiatan di kawasan itu menarik, orang ramai pasti akan ke sana. Ambil Petaling Street sebagai contoh. Pelancong tetap akan ke sana kerana ia mempunyai produk-produk yang menarik. Jadi nama tempat berkenaan tidak menjadi keutamaan,” kata beliau.
Tambahnya, pihak yang bertanggungjawab atas ‘pertukaran’ nama Pantai Sentral itu perlu berbincang dengan pihak Dewan Budaya dan Pustaka terdahulu dan meminta pandangan mereka.
“Bagi pendapat peribadi saya, saya tidak lihat ada sebab yang baik tentang pertukaran nama kawasan itu. Namun, untuk lebih adil, pihak yang bertanggungjawab harus memberi keterangan rasmi dan alasan mengapa ia ditukarkan,” tambah Baharuddin.
Beliau juga berpendapat bahawa pertukaran nama, khususnya kepada bahasa Inggeris, juga boleh menjejaskan identiti penduduk.
“Untuk apa guna Bahasa Inggeris? Bukan orang tidak faham. Kalau hendak tukar nama pun, ganti sahaja dengan Bahasa Melayu atau namakan ia sebagai ‘Pantai Dalam’ sahaja. Ia akan memberi kesan kepada penduduk dan ini melibatkan isu nasionalisme,” tambahnya.
Baharuddin juga berharap pihak penduduk tempatan dapat memberi pendapat mereka kerana percaya masyarakat awam juga mempunyai reaksi yang pelbagai.
Menurut poll Astro AWANI yang diadakan pada hari Ahad, 77 peratus berpendapat bahawa pertukaran nama tempat boleh menyebabkan hilangnya identiti, budaya dan bangsa.
Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang mengulas isu itu berkata, kerajaan perlu berunding dengan penduduk setempat sebelum membuat sebarang perubahan nama sesebuah tempat.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada Isnin memberitahu Astro Awani beliau membantah sekeras-kerasnya tindakan mengubah nama penempatan di pinggir Kuala Lumpur itu.
"Saya membantah. Saya menteri kebudayaan dan warisan itu sangat mustahak. Nama tempat mesti dikekalkan dan diingati. Nama itu wujud ada sebabnya,” kata beliau.
#Kampung Pantai Dalam #pantai sentral #Sasterawan Negara
;