'Faktor keselamatan' - alasan kerajaan Kelantan guna Mercedes-Benz
Muhafandi Muhamad
Januari 24, 2020 18:35 MYT
Januari 24, 2020 18:35 MYT
Faktor keselamatan.
Itu alasan yang diberikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam mempertahankan tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata kenderaan jenis Mercedes-Benz telah lama digunakan termasuk semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Dia sebenarnya, penggunaan Mercedes-Benz ini adalah zaman Tok Guru (Nik Aziz) lagi. Saya masa itu exco, memang pakai Mercedes-Benz E230. Jadi kita hanya tukar Mercedes lama ke baru.
"Kemudian, Menteri Besar (MB), Timbalan Menteri Besar dan Exco tidak menggunakan model yang sama. Bukan semua S Class seperti MB. MB sahaja yang berlainan, exco semua E220 dan harga untuk kerajaan ada diskaun.
"Faktornya, seperti saya katakan, iaitu faktor keselamatan itu paling besar. Tak sepatutnya ia jadi isu. Tapi sudah menjadi isu, kita nak kata macam mana," katanya ketika diminta mengulas berkenaan kesesuaian penggunaan Mercedes oleh Kerajaan Negeri sedangkan perbelanjaan kerajaan mengalami defisit.
Isu tersebut turut menjadi perdebatan dalam kalangan warganet di media sosial.
Sebelum ini, pejabat Menteri Besar Kelantan menafikan dakwaan pembelian kenderaan rasmi Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan peruntukan khas RM400 juta.
#Exco
#keselamatan
#Menteri Besar
#Mercedes
#Mercedes-Benz
#model
#Mohd Amar Nik Abdullah
#Nik Abdul Aziz Nik Mat