Faktor geografi dan cuaca sukarkan operasi kesan tujuh murid orang asli
Muhafandi Muhamad
September 21, 2015 11:50 MYT
September 21, 2015 11:50 MYT
Tempoh operasi yang panjang, laluan sukar serta cuaca tidak menentu merupakan perkara yang terpaksa dihadapi anggota pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mengesan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang sejak 23 Ogos lalu.
Setiap hari, anggota pasukan penyelamat perlu meredah laluan berbukit-bukau, laluan sungai dan gaung yang curam demi mencari mangsa.
Salah seorang anggota polis yang ditemui menyifatkan, pasukan penyelamat memerlukan ketahanan fizikal dan mental kerana mereka berdepan situasi menyelamat yang berbeza sama sekali.
"Kalau kita tengok daripada segi bentuk muka buminya, bergunung-ganang, berbukit-bukau, tiada sungai, lembah, paya, itu adalah cabaran utama operasi ini. Anggota terlibat memerlukan mental dan fizikal yang kuat untuk mendaki gunung atau menyusuri sungai dan lembah," jelas Md Haireen Md Busari.
Anggota bomba, Zamri Omar pula menyifatkan cuaca tidak menentu adakalanya menyukarkan pergerakan anggota penyelamat.
"Kalau hendak ikutkan dari segi cuaca lebih baik dari segi cuaca keringlah, kalau hujan susah sedikit kita hendak hadapi... pergerakan dalam hutan di sini memang berbukit bukau dan kita dah sedia maklum.
"Kenderaan yang biasa terutamanya memang tak boleh masuklah... kita terpaksa bawa kereta yang 'off road', "jelas Zamri.
Di sebalik cabaran yang dihadapi anggota pasukan penyelamat, bagaimanapun mereka tidak menganggap ia satu halangan untuk meneruskan operasi pencarian.
Mereka sebaliknya berusaha usaha mengesan selama ini membuahkan hasil dan menemui ketujuh-tujuh murid tersebut.
Sehingga kini, operasi berkenaan melibatan lebih 350 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Operasi juga masih ditumpukan di Hutan Rizab Balah.
Kesemua murid Orang Asli itu dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu, dipercayai melarikan diri dari asrama sekolah kerana bimbang dimarahi guru selepas mandi-manda di sungai berdekatan.