Faktor cuaca punca demam denggi meningkat 407.7 peratus di Ipoh
Aida Aziz
Januari 29, 2024 10:30 MYT
Januari 29, 2024 10:30 MYT
IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan dengan 330 kes dilaporkan sehingga 20 Januari lalu (Minggu Epid:3/2024).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peningkatan itu adalah sebanyak 407.7 peratus berbanding 65 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Sehingga 28 Januari 2024, dilaporkan tiga lokaliti 'hotspot' di Kampung Sri Kinta, Rumah Pangsa Sri Conolly dan Rumah Pangsa Taman Silibin.
"Tiga lokaliti wabak tidak terkawal pula di Arena Perpaduan Jaya, Taman Lapangan Melodi dan Rumah Pangsa Panorama Lapangan Perdana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, turun naik kes denggi di kawasan pentadbiran MBI berkait rapat dengan factor cuaca.
"Cuaca panas, kering dan hujan yang berselang-seli dan berterusan menyebabkan pola densiti nyamuk aedes berada dalam situasi risiko penyebaran kes denggi.
"Tambahan pula nyamuk dewasa yang infektif dan pembawa virus (orang yang dijangkiti denggi) terus wujud di sekitar bandar raya berdasarkan kejadian kes yang berterusan," katanya.
Ujarnya lagi, aktivti tanaman kebun tanpa kebenaran (haram) yang tidak diselenggara dan dibersihkan juga boleh menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes, terutamanya pada musim hujan.
Ia susulan terdapat peralatan berkebun yang ditinggalkan seperti botol, plastik, bekas polisterin serta bekas simpanan air.
"Bagi kebun-kebun terbiar dan yang tidak diselenggara ini, pihak MBI mengeluarkan Notis Pembersihan Kawan kepada pemilik kebun tanpa kebenaran (haram) di bawah Undang-Undang Kecil Taman dan Akta 171 Kerajaan Tempatan 1976.
"Tempoh masa pembersihan yang diberikan adalah dalam tempoh satu minggu bagi lokasi yang melibatkan wabak denggi dan dua minggu bagi lokasi bukan wabak," katanya lagi.