Fakta anda perlu tahu tentang penyakit tangan, kaki dan mulut di Malaysia
Kohilah Sekaran
Jun 17, 2016 14:33 MYT
Jun 17, 2016 14:33 MYT
Bilangan 1,379 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negara dari 5 Jun hingga 11 Jun iaitu peningkatan sebanyak 83 kes (6.4 peratus) berbanding minggu sebelumnya (1,296 kes).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata trend peningkatan kes HFMD dikesan dari 24 April hingga 30 April, dengan 794 kes direkodkan melebihi paras amaran - 644 kes seminggu.
Dengan jangkitan ini semakin menular di Malaysia, mari kita beberapa fakta berkenaan penyakit ini.
Apa itu HFMD?
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, serta mempunyai tren ’cyclical’ dengan kemuncak setiap tiga tahun.
Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana sahaja. Walau bagaimanapun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan boleh membawa kematian.
Bagaimana ia merebak?
Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari.
Tanda-tanda penyakit
Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala 3 demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
Kanak-kanak pula boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.
Namun, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari.
Walau bagaimanapun, menurut KKM, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. Namun, ianya jarang berlaku.
Langkah berjaga-jaga
Menurut kenyataan KKM, penyakit ini cepat menular di kalangan kanak-kanak, terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska atau tadika.
Oleh itu, KKM menasihatkan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan untuk mengamalkan langkah-langkah seperti berikut.
i. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/sekolah/taska/tadika/ pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
ii. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
iii. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh/merawat lepoh
iv. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
v. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
vi. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.