Fakrol guna bola untuk selamat berenang semula ke tebing tasik
Ian Johan Ariff
Januari 9, 2019 17:20 MYT
Januari 9, 2019 17:20 MYT
TRAGEDI seorang pemain bola sepak amatur, Khairul Anuar Hashim, 26 tahun, yang mati lemas di Tasik Eco Ardence di Setia Alam pada tengah malam tadi mengejutkan ramai pihak.
Mangsa dipercayai lemas akibat terjatuh ke dalam tasik ketika cuba mengambil bola di dalam tasik berkenaan.
Salah seorang pemain bola sepak amatur, Fakrol Mohamad pernah berenang sehingga ke tengah tasik yang sama untuk mengambil bola pasukannya di tasik berkenaan, mengimbau kembali detik cemas ketika berenang di tasik berkenaan.
Menurut pemain pasukan Bandar Kinrara FC (BKFC) itu, selepas habis perlawanan yang berlangsung pada tengah malam, dia dan dua orang rakan pergi mencari bola milik pasukan itu yang memasuki tasik itu.
Selepas melihat ia berada di tengah tasik, Fakrol, 28 tahun, tidak berfikir panjang dan berenang ke tengah tasik untuk mengambil bola itu.
"Bahagian tepi pun sangat dalam dan berselut, masa berenang nak pergi ambil bola pun tak berapa yakin kerana sebab saya agak penat baru habis bermain bola sepak di padang berdekatan tasik itu," kata Fakrol.
"Walaupun hampir kejang semasa berenang sehingga ke tengah tasik, saya terpaksa gagah juga ke berenang ke arah bola kerana perlu menjadikan bola itu sebagai pelampung untuk membantu saya berenang semula ke tebing tasik.
"Saya bersyukur berjaya berenang semula ke tebing dengan bantuan dua rakan saya Faiz dan Shah, namun tidak menggalakkan orang lain mencuba perkara yang sama kerana ia sangat bahaya dan kematian Khairul adalah pengajaran kepada kita semua."
Menurut Fakrol, dia berpengalaman belajar berenang secara tidak formal dengan berenang di lombong di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah.
Dia turut menasihati supaya biarkan sahaja jika bola termasuk ke dalam tasik itu dan tidak perlu tunjuk ‘hero’ kerana nyawa kita lebih berharga daripada bola tersebut.
Khairul terus diingati
Dalam pada itu, rakan-rakan Khairul berkongsi kesedihan pemergiannya di media sosial.
Sangat aktif dalam bola sepak, Khairul juga beraksi untuk pasukan amatur, Cheras Raptors FC dalam saingan Selangor Champions League (SCL) tahun lepas.
Pihak pengurusan Cheras Raptors turut berkongsi kesedihan di laman Facebook atas kehilangan Khairul.
Pasukan bola sepak lain dan Malaysia Football League (MFL) turut bersedih dengan pemergian Khairul.