#FakeNews: 'Jangan terpengaruh dengan mesej palsu berkaitan pilihan raya' - SPR

Kohilah Sekaran, Syafik Shukri Jalil
Mei 5, 2018 13:45 MYT
SPR menganggap penularan mesej palsu oleh pihak tertentu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Sejak kebelakangan ini, banyak mesej palsu berkaitan proses pilihan raya tular di media sosial.
Perkara ini sudah pasti menimbulkan rasa kerisauan dan juga rasa curiga dalam kalangan netizen yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Mereka menggunakan media sosial untuk mempersoalkan kesasihan mesej itu, malah ada yang mempersoal etika bekerja secara profesional petugas pilihan raya.
Antara mesej yang tular di media sosial adalah seperti visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan oleh institusi yang tidak berkaitan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Klip video kononnya kertas undi dibawa keluar oleh petugas dari balai polis tanpa kebenaran, teks berkaitan kertas undi mempunyai titik hitam dan kaedah pengundian yang dimanipulasi.

Begitu membesar sokongan rakyat dapat dilihat dalam perhimpunan PH-Keadilan di merata negara semasa kempen PRU14 setakat ini. Aku masih menaruh kebimbangan. Semuanya ini boleh dimusnahkan dengan mudah melalui manipulasi dan penipuan yang direncanakan oleh SPR. pic.twitter.com/geZTTHvGbU

— Malek Hussin (@AbdMalekHussin) May 4, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah hari ini mengesahkan kepada Astro AWANI bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan menyeru orang ramai agar tidak mempercayainya.
“Setiap kertas undi yang dicetak akan disemak dan diperiksa dengan teliti oleh pegawai SPR untuk memastikan ianya bersih dan tiada sebarang tanda yang tidak sepatutnya seperti titik hitam atau lain-lain sebelum ia diedarkan untuk proses pengundian.
“Pengundi juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati agar tidak mengotorkan kertas undi dengan sengaja. Malah pengundi hanya boleh menukar kertas undi sekali sahaja sekiranya kertas undi mereka didapati kotor atau rosak secara tidak sengaja," jelas Hashim menerusi satu kenyataan media.
Selain itu, Hashim mengesahkan mesej tular yang kononnya membabitkan seseorang yang telah menghadiri taklimat Ejen-Ejen Calon (PACABA) bahawa terdapat beberapa perubahan kaedah berkaitan proses pada hari mengundi juga tidak benar.
Kredit Gambar: Paparan skrin WhatsApp
Beliau menegaskan bahawa semua proses pada hari pengundian masih sama yang mana terdapat barung semakan yang disediakan oleh SPR bagi kemudahan pengundi membuat semakan daftar pemilih.
Tambah Pengerusi SPR itu lag, pihaknya juga sentiasa memastikan pengundi memasuki saluran yang betul dan tindakan mencelup jari hanya akan dilakukan apabila nama pengundi tersebut disahkan terdapat dalam senarai pemilih di saluran berkenaan dan nama masih belum dipotong.
“Sekiranya nama pengundi tersebut tiada dalam senarai pemilih di saluran berkenaan, petugas pilihan raya akan mengarahkannya ke saluran mengundi yang betul,” katanya.
Oleh itu, SPR menasihati orang ramai untuk tidak percaya mesej-mesej tular yang bertujuan untuk mengelirukan serta menimbulkan persepsi negatif terhadap petugas pilihan raya.
“Saya menganggap penularan mesej-mesej dalam bentuk teks, visual dan video tersebut oleh pihak tertentu itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berniat untuk mengelirukan pengundi dan menimbulkan prejudis terhadap SPR.
“Dalam hal ini SPR akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati penyebaran mesej tersebut palsu dan tidak benar.”
#Astro Awani #Malaysia Memilih #media sosial #mesej palsu #PDRM #pilihan raya #Suruhanjaya Pilihan Raya #tidak benar
;