'Fake news': Semalam lapor, hari ini Astro AWANI jadi mangsa
Shafizan Johari
November 16, 2017 17:44 MYT
November 16, 2017 17:44 MYT
Semalam, Astro AWANI melaporkan mengenai bahaya berita palsu.
Hari ini pula, organisasi berita ini menjadi 'mangsa'.
Semua gara-gara tular di aplikasi media sosial bahawa Astro AWANI melaporkan mengenai kejadian tembakan melibatkan seorang yang didakwa sebagai pegawai khas menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Bilik Berita Astro AWANI tidak pernah membuat laporan tersebut atau menerima laporan berkenaan.
Wartawan Astro AWANI Hakim Rahman, menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharuddin Abdullah bagi mendapatkan penjelasan.
Shaharuddin mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kes tembakan di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di Jalan Bukit Bintang di sini pagi ini.