Faizal Azumu MB Perak ke-13, terajui pentadbiran Perikatan Nasional

Harits Asyraf Hasnan
Mac 13, 2020 11:20 MYT
Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di bawah pentadbiran kerajaan baharu. - Gambar fail
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di bawah pentadbiran kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).
Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Kolonel (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor berkata ia selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan atas pelantikan tersebut. 

“Berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada pertimbangan Baginda, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ahli Dewan Negeri Chenderiang, mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Nazrin turut menetapkan supaya Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan diadakan jam 3 petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terbubar selepas Ahmad Faizal melepaskan jawatan Menteri Besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu.
Sehari sebelum itu, PN mengumumkan mempunyai majoriti 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus memberi laluan kepada mereka membentuk Kerajaan negeri Perak yang baharu.
Ia merangkumi 25 kerusi Barisan Nasional, empat kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga kerusi Pas.
Ahmad Faizal, 50, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh.
Beliau pernah menjadi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah dan sebelum itu pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi juga dalam pertembungan tiga penjuru.
Dalam PRU-14, PH dipimpin Ahmad Faizal berjaya memenangi 29 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi dan PAS (tiga kerusi).
#Ahmad Faizal Azumu #Faizal Azumu #Malaysia2020 #MB Perak #Menteri Besar Perak #MY2020 #Perikatan Nasional
;