Fahmi ucap takziah kepada A Samad Said atas pemergian Salmi Manja

Bernama
Disember 27, 2023 04:28 MYT
Allahyarhamah Saleha merupakan bekas wartawan, penyair dan novelis dalam kalangan pengarang wanita profesional generasi pertama di Malaysia, di samping merupakan ahli Angkatan Sasterawan '50 (ASAS 50).
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said atas pemergian isteri tercinta Datin Seri Saleha Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Salmi Manja yang meninggal dunia semalam.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Salam takziah buat Datuk Seri A.Samad Said sekeluarga di atas kehilangan isteri tercinta beliau.
"Allahyarhamah Hajah Saleha Rashid @ Salmi Manja, bekas wartawan dan penulis tersohor telah meninggal dunia semalam. Semoga seluruh keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Allahyarhamah Saleha, 87, menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada tengah hari.
Allahyarhamah Saleha merupakan bekas wartawan, penyair dan novelis dalam kalangan pengarang wanita profesional generasi pertama di Malaysia, di samping merupakan ahli Angkatan Sasterawan '50 (ASAS 50).
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #A Samad Ismail #Salmi Manja #meninggal dunia