Fahmi ucap takziah kepada keluarga Bad Indigo
Bernama
Oktober 26, 2023 04:40 MYT
Oktober 26, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi Bad Indigo atas pemergian penyanyi itu, semalam.
Fahmi dalam hantaran di Facebook mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah dengan ujian itu.
"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad Indigo, penyanyi, yang telah meninggal dunia hari ini. Al-Fatihah," katanya.
Media tempatan melaporkan Bad Indigo, 48, meninggal dunia kira-kira 7 malam tadi di tempat kerjanya, sebuah bengkel kenderaan di Ampang.
Kumpulan Indigo yang ditubuhkan pada 1996, popular dengan membawakan lagu-lagu berentak pop Melayu dan kumpulan itu turut dianggotai Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, Shahrul Nizam Abdul Aziz dan Nor Shazman Nor Shahid.
-- BERNAMA