Fahmi tinjau integrasi 5G di RGTSU Melaka

Bernama
Februari 10, 2025 04:15 MYT
Fahmi (tiga dari kiri) meninjau integrasi 5G di Terminal Pengegasan Semula Sungai Udang (RGTSU), Melaka yang dikendalikan Petronas. - Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Isnin meninjau integrasi 5G di Terminal Pengegasan Semula Sungai Udang (RGTSU), Melaka yang dikendalikan Petronas.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata, integrasi 5G di terminal itu memanfaatkan Internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang membolehkan operasi Petronas menjadi lebih cekap, produktif dan selamat.
"Sambungan pantas serta kependaman rendah menyokong pemantauan masa nyata dan pengurusan risiko yang lebih baik," katanya.
Fahmi berkata, Petronas telah melancarkan empat rangkaian 5G persendirian termasuk yang pertama di RGTSU itu.
Beliau berkata, inisiatif itu disokong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh transformasi digital sektor tenaga.
Fahmi berkata, sambungan pantas 5G, kependaman yang rendah dan keupayaan untuk mengendalikan aliran data yang besar akan memperkasakan ekonomi negara untuk kekal berinovasi, bersaing serta mencapai kecemerlangan di peringkat global.
"Sedang kita memulakan perjalanan transformasi ini, penting untuk akui peranan yang dimainkan oleh teknologi terkini," katanya. - BERNAMA
#Fahmi Fadzil #tinjau #integrasi 5G #RGTSU Melaka
;