Fahmi setuju cadangan UMNO minta kerajaan wujud Suruhanjaya Gig Ekonomi Malaysia

Bernama
Januari 27, 2024 16:16 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa menyampaikan ucapan pada Program Jiwa Madani di Kampung Sungai Putat dekat Ayer Keroh, hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersetuju dengan cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meminta kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia dan akan berusaha mengemukakan perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata cadangan itu wajar memandangkan terdapat kerencaman dalam ekonomi gig seperti penghantar makanan.
"Saya lihat memang ekonomi gig ia rencam, pelbagai, ada aspek-aspek 'free market' (pasaran bebas) ataupun pasaran yang memainkan peranan terutama dalam segi upah dan sebagainya.
"Bagi saya antara yang paling penting ialah kebajikan bagi golongan pekerja gig... itu sebab saya secara konsisten telah menyatakan dan melalui apa yang saya mampu, usaha untuk bantu penunggang p-hailing (ini)," katanya kepada pemberita pada Program Jiwa Madani di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh di sini hari ini.
Program berkenaan menyediakan beberapa reruai antaranya Pangkalan Data Utama (PADU), Jualan Rahmah dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pelbagai agensi termasuk di bawah Kementerian Komunikasi bagi membantu masyarakat setempat.
Program dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,000 penduduk kampung itu dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Kerk Chee Yee serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata MT UMNO sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia bagi memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia terpelihara.
Sementara itu, Fahmi berkata setakat semalam kira-kira 56,000 individu telah berdaftar dengan PADU dan menggesa agar lebih ramai tampil mendaftar terutama penjawat awam.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #UMNO #Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia #jemaah menteri
;